Connect with:




Atlet tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan kini berada di landasan tepat untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Abu Samah, 34, yang kini berada di ranking ke-63 dunia, berkata beliau masih mempunyai peluang untuk berada dalam kelopok 32 terbaik dunia yang secara automatik membolehkannya layak ke Tokyo.

“Saya sebelum ini berada di ranking ke-81 tetapi selepas jelajah kejohanan di Sri Lanka pada bulan lepas dan mengharungi tiga kejohanan, ranking saya naik ke kedudukan ke-63. Jadi tidak mustahil untuk saya mengejar kedudukan terbaik sebelum Sukan Paralimpik itu berlansung, katanya dalam laporan BERNAMA selepas aksi final kejohanan kelayakan tenis berkerusi roda Piala Dunia Berpasukan.

Pada kejohanan tersebut yang berlansung di Pusat Tenis Tun Razak, pasukan Malaysia tewas kepada Sri Lanka 2-0 apabila Abu Samah dikalahkan oleh Gamini Dissanayake 6-7 (3), 1-6 manakala Mohd Yusshawan Yusoff tewas kepada Suresh Dharmasena 2-6, 3-6.

Setelah muncul juara, Sri Lanka telah mendapat tempat untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) 2019 di Israel 13 hingga 18 Mei ini.

Abu Samah mengakui akan kekuatan pihak lawan itu, tetapi tetapi bersyukur kerana dapat mencapai sasaran ke final.

Selepas ini, Abu Samah akan menyertai Kejohanan Terbuka Sabah bermula Rabu hingga Jumaat ini dan Terbuka Labuan bermula Ahad hingga Selasa ini.

Sementara itu, jurulatih tenis berkerusi roda kebangsaan, Mohd Nadir Mohd Ashraf berkata, walaupun tewas kepada Sri Lanka namun beliau tetap gembira dengan prestasi anak didiknya yang semakin meningkat.

“Walaupun pemain negara terpaksa mengikuti siri kejohanan secara berterusan sejak awal tahun lagi tetapi mereka sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi serta sentiasa bersedia dari segi mental dan kecergasan.

“Penyertaan dalam kejohanan secara konsisten akan dapat membantu pemain untuk menguatkan ketahanan mental terutamanya ketika menentang pesaing yang lebih kuat,” kata Mohd Nadir. – BERNAMA

Foto : Sports247