Atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly akan lebih berhati-hati dalam persediaan untuk Sukan Para ASEAN 2017.

Abdul Latif, 20, sedang berusaha untuk meningkatkan prestasinya selepas dia diserang keracunan makanan semasa perlawanan Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lepas.

Walaupun terkena keracunan makanan hanya sehari sebelum acara itu, dia masih bersaing dalam acara lompat jauh lelaki dan berjaya mendapatkan tempat ketujuh dengan lonjakan 7.34m di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

“Saya perlu lebih berhati-hati dengan makanan saya sekarang. Saya tidak mahu (keracunan makanan) berlaku lagi.

“Saya kecewa kerana tidak memenangi pingat dalam Sukan SEA pertama saya. Tetapi saya akan pastikan saya berada dalam keadaan baik untuk mengekalkan emas dalam Sukan Para Asean,” ujarnya.

Pelompat jauh dari Perlis itu akan mempertahankan emasnya di Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur mulai 17 hingga 23 September.

Selepas mengharumkan nama negara dengan memenangi emas dan memecah rekod dunia dengan lonjakan 7.60m di Paralimpik Rio de Janeiro, dia berjaya mengekalkan emas pada Kejohanan Athletik Dunia di London, Julai lalu.

“Misi saya di Sukan Para Asean adalah untuk memecahkan rekod dunia saya dan memenangi emas. Saya mahu menamatkan persaingan terakhir saya tahun ini dengan terbaik. Saya juga mahu menggunakan Sukan Para Asean untuk layak ke Sukan Para Asia tahun depan (di Jakarta dari 6 hingga 13 Oktober), “kata Abdul Latif.

Bagi Abdul Latif, dia berharap agar para peminat akan datang dan memberikan sokongan sepenuhnya kerana ia akan mendorong atlet untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Foto Kredit: Rojak Daily