Connect with:




Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2017.

Baru berusia 14 tahun, Aaliyah telah mengharumkan nama negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa serta mempamerkan aksi konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai sepanjang tahun 2017 hingga meletakkan dirinya di ranking kedua dunia untuk acara tricks kategori bawah 17 tahun.

“Pada pendapat saya dia adalah atlet yang paling layak dinobatkan Anugerah Atlet Muda Terbaik pada kali ini diatas pencapaian yang amat memberangsangkan sepanjang tahun 2017”, kata Naib Presiden SAM, Izahar Atan.

Atlet muda itu memenangi tiga pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur turut menduduki tangga kelima dunia untuk kedudukan keseluruhan.

Sepanjang tahun lalu, selain kejayaan di Sukan SEA 2017, Aaliyah juga melakar kejayaan di pertandingan peringkat antarabangsa yang lain termasuklah mengungguli acara tricks dalam Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand dan juga berada di kedudukan ketiga dalam Kejuaraan Remaja Moomba Masters.

Tahun lepas, Nur Dhabitah Sabri daripada sukan terjun mengungguli anugerah berkenaan kerana mempamerkan prestasi cemerlang ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Barzil, tahun lalu.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS yang akan berlangsung pada 1 MAc ini di sebuah hotel terkemuka akan menjadi platform pengiktirafan terbaik bagi pencapaian hebat atlet-atlet negara dan juga pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara.

Foto Kredit : nexus(dot)edu(dot)my