Sebanyak 12 pasukan telah layak bertanding dalam Figos International Futsal Challenge Trophy yang dijadualkan berlangsungĀ  di Kompleks Sukan Negara, Seksyen 20, Shah Alam pada Ahad, 2 Oktober ini.

Untuk menyertai kejohanan tersebut, pasukan-pasukan diminta mendaftar dan pemilihan 12 pasukan terbaik dipilih menerusi sistem undian.

12 pasukan yang telah diundi oleh peminat futsal Figos Malaysia adalah seperti berikut:

1. Amynasa A
2. Kartallar Sports Club
3. RUNNER FC
4. Red Galacticos
5. Kami FC
6. Goodboyz
7. Amynasa B
8. Avatar Futsal Club
9. PROGOAL FC
10. Bertam Ulu FC
11. Sambadefutsal
12. A7 UNITED

Pengurus pasukan Runner FC, Arif Hamidi Sayuti, mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang mengundi seterusnya melayakkan pasukan beliau bertanding di kejohanan ini.

Runner FC yang muncul juara Triways Club Championship League baru-baru ini menggandakan latihan memandangkan pasukan lawan
mempunyai reputasi yang tinggi.

“Kami sedaya upaya untuk membuat kejutan namun kami sedar pasukan bertaraf A seperti Bertam Ulu FC dan Red Galacticos turut bertanding,” kata Arif Hamidi.

Kejohanan yang diadakan di gelanggang bersaiz FIFA turut menarik minat pasukan Runner FC. “Amat jarang sekali pertandingan di Malaysia diadakan di gelanggang sebegini. Pujian harus diberikan kepada pemganjur,” tambah Arif Hamidi.

Sementara itu pasukan A7 United yang menjuarai Kejohanan U-MZK minggu lalu mensasarkan kedudukan empat terbaik. Menganggap
Red Galacticos dan Bertam Ulu sebagai halangan utama, mereka membuat persiapan rapi dengan menjalani latihan 3 kali seminggu serta perlawanan persahabatan.

“Kami sudah banyak kali bertemu dengan Red Galacticos dan Bertam Ulu FC. Sedikit sebanyak saya tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Namun saya perlu berhati-hati dengan pasukan yang saya tidak tahu kekuatannya seperti Amynasa A dan B serta Kartallar SC,” ujar Irwan Shah Mat Ali, Pengurus Pasukan A7.

Pasukan A7 United kali ini diperkuatkan dengan ‘tenaga import’ dari Libya iaitu Mohd Esawy dan Ahmad Faidi yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

Taklimat dan undian kejohanan akan diadakan pada Sabtu, 1 Oktober dan semua pasukan yang layak diberi 30 minit percuma sesi percubaan bola kejohanan dan gelanggang.

Figos Malaysia juga menyediakan hadiah istimewa untuk penyokong-penyokong pasukan yang layak.