Connect with:




Manchester United meraih kemenangan dramatik 3-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan kedua 16 terbaik Liga Juara-Juara di Parc des Princes, semalam.

Bermain di tempat lawan, United tampil tertekan untuk memburu kemenangan setelah ketinggalan 2-0 kepada PSG pada pusingan pertama di Old Trafford. Berdasarkan statistik rasmi Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), skuad The Red Devil hanya mencatat hanya 27 peratus penguasan bola berbanding 73 peratus milik PSG.

Walaupun begitu, United mampu tampil dengan baik dengan jaringan di awal babak pada minit ke-2 setelah kesilapan dilakukan Thilo Kehrer menghantar bola kepada Thiago Silva disambar oleh Romelu Lukaku di depan gawang PSG.

Penyerang Belgium itu berjaya mengeliru Gianluigi Buffon sebelum mengegarkan jaring PSG dengan sepakan kaki kiri. Masuk minit ke-12, PSG berjaya menyamakan kedudukan hasil umpanan Kylian Mbappe di depan gawang United berjaya disudahkan oleh Juan Bernat.

Lukaku sekali lagi membawa United berada dihadapan pada minit ke-30 selepas memanfaatkan kesilapan Buffon yang gagal menangkap kemas bola sepakan liar Marcus Rashford dengan keputusan 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Ketika perlawanan dijangka akan tamat dengan jaringan 2-1, United dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Presnel Kimpembe di dalam kotak penalti pada minit ke-90.

Pada awalnya pengadil memutuskan United hanya mendapat tendangan sudut. Namun setelah pengadil melihat ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil memutuskan United layak mendapatkan penalti kerana bola mengenai tangan Kimpembe.

Rashford menjalankan tugas dengan baik setelah berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang membawa United menang 3-1 ke atas PSG.

Dengan kemenangan itu, United berjaya ke pusingan suku akhir dengan kelebihan jaringan tempat lawan dengan agregat 3-3. Pada pertemuan pusingan pertama di Old Trafford, 12 Februari lalu, United kalah 0-2 kepada PSG.

Berikut ini adalah sembilan fakta kejayaan Manchester United setelah menang ke atas Paris Saint-Germain:

1- Manchester United adalah kelab pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara yang melayakkan diri ke pusingan seterusnya setelah ketinggalan dua atau lebih gol di pusingan pertama perlawanan semasa mengggunakan sistem pusingan kalah mati.

2- Penalti Marcus Rashford adalah tendangan pertama dalam kariernya bersama Manchester United dalam perlawanan rasmi.

3- Manchester United sentiasa menjaringkan gol dalam 21 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan. Rekod itu menyamai rekod Manchester United ketika dibawah kendalian Sir Matt Busby antara November 1956 dan September 1957.

4- PSG tidak pernah ketinggalan dua gol dalam 30 minit pertama perlawanan Liga Juara-Juara, sejak Oktober 1997 (perlawanan menentang Bayern Munich).

5- Manchester United buat kali pertama menjaringkan lebih daripada satu gol di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, sejak separuh akhir 2010-2011 ketika menentang Schalke.

6- Kylian Mbappe mencatatkan lebih banyak bantuan gol (assist) dibandingkan pemain lain di Liga Juara-Juara setakat ini dengan 5 assist.

7- Gol Romelu Lukaku hanya mengambil masa 1 minit 51 saat adalah gol terpantas Manchester United dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas kali terakhir gol oleh Wayne Rooney dalam perlawanan menentang Bayern Munich, Mac 2010 mengambil masa 63 saat.

8- Hanya tiga kelab yang berjaya menang ke atas PSG di Parc des Princes dalam sedekad yang lalu, iaitu Barcelona, Real Madrid dan Manchester United.

9- Manchester United berjaya mengekalkan kemenangan dalam sembilan perlawanan di tempat lawan berturut-turut di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer. Manchester United juga berjaya menjaringkan 23 gol, bolos lima gol dan mencatatkan lima perlawanan tanpa bolos.

Foto : Manchester United Website