Connect with:




Tahun 2018 akan meninggalkan kita. Bagi peminat sukan tanah air, banyak detik sukan menarik yang pasti akan dikenang untuk tahun-tahun yang mendatang.

Bersempena tahun baru ini, kami nak throwback dan pilih 9 pencapaian atau detik menarik sepanjang 2018 dalam arena sukan Malaysia.

1) FINAL EPIK PIALA MALAYSIA

Terima kasih buat pasukan Perak dan Terengganu FC kerana memberikan satu perlawanan untuk dikenang sebagai antara final paling epik dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia. Drama yang berlaku di atas padang sepanjang 120 minit perlawanan disudahkan dengan kemenangan Perak dalam penentuan sepakan penalti. Insiden meraikan gol secara berlebihan kemudiannya menjadi perdebatan hangat di media. Tidak ketinggalan, prestasi pengadil yang mengecewakan yang akhirnya menyaksikan pengerusi jawatankuasa pengadil FAM, Subkhiddin Salleh meletakkan jawatannya.

 

2) DATUK LEE CHONG WEI BANGKIT DARI PENYAKIT

Arena badminton negara dikejutkan dengan berita mengenai Datuk Lee Chong Wei yang menghidap kanser hidung. Ia memaksa jaguh badminton negara ini membuat rawatan komprehensif di Taiwan sehingga menyebabkan beliau kehilangan 5kg berat badan. Chong Wei kemudiannya membuat kemunculan di depan media pada awal Disember lalu dan memberi jaminan kanser tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berjuang mewakili negara. Beliau kini kembali menjalani latihan dan dijangka akan turun beraksi kembali pada Mac ini dalam kejohanan All England.

 

3) KEMPEN MEMBANGGAKAN HARIMAU MALAYA DI PIALA AFF

Walaupun gagal bergelar juara selepas tewas kepada Vietnam, kempen Harimau Malaya pada Piala AFF 2018 boleh dianggap berjaya oleh penyokong negara. Apa yang lebih mengharukan, sokongan ‘ekor’ baik di Bukit Jalil mahupun di luar negara adalah cukup memberangsangkan. Perlawanan separuh akhir kedua mementang Thailand di Bangkok pastinya akan dikenang ramai selepas pengakhirannya cukup untuk membuatkan ramai rakyat Malaysia menitiskan air mata kegembiraan.

 

4) SENTUHAN BERBISA ONG KIM SWEE

Masih lagi dengan bolasepak. 2018 juga boleh dikatakan tahun cemerlang untuk pengendali skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee. Beliau berjaya mengemudi pasukan tersebut hingga ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Bawah 23 Asia di China, awal tahun ini. Tujuh bulan kemudian, Kim Swee dan anak-anak buah kembali membuat kejutan dimana pasukan negara berjaya menewaskan gergasi bolasepak Asia, Korea Selatan yang diperkuatkan dengan kehadiran bintang Tottenham Hotspur, Heung Min Son di pentas Sukan Asia. Malaysia kemudiannya tewas tipis 1-0 kepada Jepun dalam peringkat kalah mati.

 

5) SUKAN ASIA YANG PENUH DRAMA

Sebut mengenai Sukan Asia, pastinya kita tidak boleh melupakan apa yang berlaku terhadap kontinjen negara sepanjang temasya tersebut berlangsung. Tuan rumah, Indonesia benar-benar ‘melepaskan geram’ ke atas kontinjen Malaysia. Malang buat skuad silat yang menjadi mangsa akibat kegagalan tuan rumah selaku penganjur dalam memastikan segalanya berjalan dengan adil dan saksama. Begitu juga dengan skuad takraw yang hampir dijadikan mangsa. Kontinjen negara menamatkan kempen Sukan Asia 2018 dengan 7 emas, 13 perak dan 16 gangsa.

 

6) DEBUT MEMBERANGSANGKAN PESCAO

Dalam sukan permotoran, Hafizh Syahrin mencipta sejarah tahun ini dengan menjadi pelumba Malaysia pertama bertanding di kelas elit MotoGP. Hafizh yang menunggang untuk pasukan Monster Yamaha Tech-3 menamatkan kalendar 2018 dengan kutipan 46 mata, hanya dipisahkan 2 mata dibelakang Franco Morbidelli dalam perebutan gelaran Rookie Of The Year. Untuk musim 2019, Hafizh akan mewakili pasukan Red Bull KTM Tech3.

 

7) JEPUN KECEWAKAN SKUAD HOKI NEGARA

1 September 2018 adalah mimpi ngeri buat skuad hoki negara. Hanya 60 saat memisahkan skuad negara untuk memenangi emas Sukan Asia sekaligus layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Namun begitu, tuah ternyata bukan milik negara selepas diikat Jepun 6-6 walaupun Malaysia beberapa kali mendahului pasukan tersebut. Aksi penentuan sepakan penalti jelas tidak memihat kepada pasukan negara yang terpaksa berpuashati dengan pingat perak.

8) KEMUNCULAN BINTANG BAHARU MMA

Selepas bersaranya Ann Osman sebagai penggusti MMA, ramai tertanya-tanya apakah akan ada bintang MMA wanita dari Malaysia untuk membawa cabaran negara di peringkat antarabangsa. Jawapannnya ya. Atlet yang dimaksudkan itu ialah Jihin Radzuan. Gadis kelahiran Johor ini membuat debut di ONE Championship pada Mac tahun ini menerusi kemenangan ke atas Pooja Tomar. Jihin kemudiannya menewaskan Priscilla Hertati pada Julai sebelum menutup 2018 dengan gemilang menerusi kemenangan ke atas Jenny Huang pada 7 Disember lalu. Dengan rekod bersih 3 kemenangan tahun ini, pastinya Jihin mempunyai masa depan cemerlang pada tahun 2019 ini.

 

9) MALAYSIA LAHIRKAN JUARA DUNIA

Tahun 2018 menyaksikan beberapa atlet negara telah berjaya menjulang nama Malaysia di persada dunia menerusi kejayaan bergelar juara dunia. Antaranya ialah skuad dodgeball negara, bintang bowling Rafiq Ismail dan gandingan beregu Adrian Ang-Tun Ameerul Al Hakim serta pesilat-pesilat negara iaitu Siti Rahmah Nasir, Hazim Amzad dan gandingan Taqiyudin/Sazlan. Semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi untuk atlet-atlet Malaysia mencipta kejayaan pada tahun 2019 ini.