Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 bakal menghantar kontinjen terbesar pada temasya dwitahunan ini selepas disahkan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Jumaat.

Sejumlah 874 atlet negara akan menggalas cabaran negara dengan jumlah keseluruhan acara yang disertai adalah sebanyak 397 daripada 404 acara yang dipertandingkan.

Selain atlet-atlet muda yang akan beraksi buat pertama kali dalam Sukan SEA, kontingen negara turut akan dibarisi atlet-atlet berpengalaman seperti Leong Mun Yee yang mula beraksi pada edisi di Jakarta, 1997.

Malah, Malaysia turut akan dibarisi Menteri Belia dan Sukan sendiri, YB Khairy Jamaluddin yang beraksi untuk acara polo serta Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan menyertai ekuestrian dalam acara endurance.

Presiden SEAGF, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, kontinjen Thailand muncul kedua terbesar apabila menghantar 858 atlet manakala Timor Leste adalah kontinjen terkecil apabila hanya menghantar 48 atlet.

“Secara keseluruhan 11 negara menyertai edisi ke-29 kali ini dengan jumlah 4,888 atlet,” katanya.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan bermula pada 19 hingga 30 Ogos ini.