Connect with:




Sampai bila isu perkauman akan membelenggu dunia sukan? Persoalan yang sebenarnya masih belum terjawab, walaupun kita dikatakan berada dalam dunia serba moden dan memiliki mentaliti kelas A. Sukan popular seperti bola sepak juga tidak lari daripada terbabit dalam isu perkauman. Isu perkauman boleh menjejaskan imej penyokong kelab bola sepak yang terlibat. Selain itu dapat menjatuhkan prestasi dan mental pemain. Sudah terlalu ramai pemain yang sudah menjadi mangsa isu perkauman dalam bola sepak. Kami senarai pendek 8 pemain yang pernah menjadi mangsa isu perkauman dalam dunia bola sepak.

Mario Balotelli

Bintang Itali, Mario Balotelli yang cemerlang bersama kelab Nice di Ligue 1, Perancis musim 17/18 antara pemain yang kerap menjadi mangsa dalam isu perkauman. Balotelli memang terkenal dengan masalah disiplin namun adakah ia punca kepada isu perkauman yang diterimanya? Media juga dilihat lebih memfokuskan kepada masalah disiplin Balotelli daripada prestasinya. Balotelli mendapat cemuhan dan ejekan ‘monyet’ daripada penyokong Bastia dan Dijon. Balotelli dilayangkan kad kuning dalam kedua-dua perlawanan itu kerana menunjukkan kemarahan kepada penyokong kelab-kelab terbabit. Bagaimanapun, selepas disiasat, Persatuan Bola Sepak Perancis telah mendenda pasukan itu dengan memotong mata daripada tindakan penyokong pasukan itu sendiri.

Kalidou Koulibaly

Kes Kalidou Koulibaly dilihat lebih kritikal selepas menerima kecaman dan penghinaan berbaur perkauman daripada penyokong Inter semasa pasukannya, Napoli tewas 1-0. Dalam perlawanan itu, Koulibaly dilayangkan dua kad kuning selepas memberi tepukan sinis kepada pengadil perlawanan pada penghujung permainan. Sebelum itu, pengurus Napoli, Carlo Ancelotti telahpun meminta pengadil untuk memberhentikan perlawanan susulan sorakan dan bunyi monyet yang dilontarkan oleh penyokong Inter sepanjang perlawanan. Tetapi pengadil perlawanan hanya memaklumkan perkara itu kepada pihak stadium dan menasihatkan penyokong agar menjaga tingkah laku. Malangnya, sorakan dan nyanyian seperti monyet terus kedengaran sehingga tamat. Lebih menyedihkan FIFA dan mahkamah rayuan FIGC tidak mahu melayan isu Koulibaly sebaliknya menyalahkan Koulibaly atas provokasi yang dilakukannya kepada pengadil perlawanan.

Raheem Sterling

Pemain England dan Manchester City, Raheem Sterling juga salah seorang pemain yang turut menjadi mangsa isu perkauman. Sterling dilontarkan dengan kata-kata kesat dan berbaur perkauman semasa mengambil bola di belakang gawang Chelsea ketika pasukannya tewas 0-2 di Stamford Bridge. Sterling turut mengecam tindakan akhbar Britain yang menyemarakkan lagi api perkauman dengan menggambarkan pemain muda berkulit hitam sebagai tidak baik. Sterling bagaimanapun tidak terkejut dengan sikap penyokong dan akhbar Britain tetapi dia tidak boleh bertolak ansur dengan kata-kata daripada mereka. Sterling juga tidak terlepas daripada cemuhan berbaur perkauman semasa beraksi bersama skuad England bagi kelayakkan Euro 2020 di Montenegro baru-baru ini. Sterling juga menjaringkan gol dalam perlawanan itu dengan meraikan jaringannya dengan meletakkan tangan di telinga. Sterling berkata itu car terbaik untuk menutup mulut ‘haters’.

Danny Rose

Pemain pertahanan England dan Tottenham Hotspur, Danny Rose mengatakan dia tidak sabar untuk menamatkan kariernya selepas isu perkauman gagal ditangani mengatasi keseronokan bermain bola sepak. Rose menyelar tindakan badan induk bola sepak, FIFA yang membuat peraturan dan hanya mengenakan denda yang kecil ke atas kelab atau negara yang gagal mengawal penyokong mereka. Rose mengatakan dia hanya ada lagi lima atau enam tahun untuk menamatkan kariernya dan tidak sabar untuk mengakhirinya selepas apa yang berlaku dalam bola sepak sekarang. Rose juga tidak terlepas daripada cemuhan berbaur perkauman semasa menentang Montenegro. Namun, Rose sudah menjangkakan perkara itu. Rose turut memuji cara Raheem Sterling meraikan gol dengan meletakkan tangan di telinga. Rose turut mengecam tindakan FIFA yang mengenakan hukuman kecil sehingga penyokong tidak serik untuk menghina pemain. Terlalu banyak politik dan perkara lain dalam bola sepak pada masa sekarang.

Patrice Evra

Pada tahun 2012, pertembungan antara Manchester United dan Liverpool menjadikan panas selepas penyerang Liverpool, Luis Suarez dikatakan telah menghina pertahanan dan juga kapten United, Patrice Evra dengan perkataan ‘negro’. Namun, Suarez menafikan ada unsur perkauman dalam ucapannya kerana di Uruguay, perkataan itu merupakan satu perkataan yang biasa diucapkan merujuk kepada warga Uruguay yang berkulit hitam. Insiden itu mendapat liputan meluas peminat dan media, dengan banyak pihak memberikan pandangan masing-masing. Liverpool menyatakan sokongan kepada Suarez dengan memakai baju bertulis nama Suarez, namun tindakan itu dikecam banyak pihak kerana bersifat tidak sensitif. Siasatan mendapati Suarez bersalah dan dikenakan penggantungan lapan perlawanan serta denda £40,000. Evra membalas penghinaan yang diberikan Suarez selepas tidak dapat menahan diri dan mentertawakan Suarez selepas Perancis berjaya menyingkirkan Uruguay di peringkat suku akhir Piala Dunia 2018.

Sulley Muntari

Pemain yang berasal dari Ghana ini mengatakan dirinya dilayan seperti penjenayah selepas menjadi mangsa serangan perkauman dalam aksi Serie A musim 16/17. Pada perlawanan itu, Sulley Muntari dilayangkan kad kuning kedua kerana mengadu kepada pengadil perlawanan mengenai sorakan-sorakan berbaur perkauman daripada penyokong pasukan lawan. Insiden tersebut memberikan penggantungan satu perlawanan buat Muntari, di mana kelabnya, Pescara tidak melakukan sebarang rayuan untuk menarik semula hukuman tersebut. Bagaimanapun, Muntari mendapatkan bantuan daripada Kesatuan Pemain-Pemain Itali yang akan membuat rayuan terhadap hukumannya. Muntari merasakan dirinya dilayan sebagai penjenayah kerana dia dihukum sedangkn dirinya menjadi mangsa perkauman oleh penyokong Cagliari. Muntari juga menganggap ia sebagai satu kemenangan yang berharga bagi menyampaikan mesej bahawa isu perkauman tiada tempat dalam bola sepak dan masyarakat secara umumnya.

Moise Kean

Moise Kean, penyerang muda Juventus dan Itali menjadi mangsa terbaru dalam isu perkauman. Pemain berusia 19 tahun itu mendakwa dia menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman semasa perlawanan Serie A menentang Cagliari. Kean membalas sorakan dan ejekan penyokong lawan dengan meraikan gol di depan penyokong Cagliari sambil mendepakan tangan. Kean juga memuat naik gambarnya itu dengan mesej ‘cara terbaik sebagai tindak balas terhadap perkauman’. Rakan sepasukannya, Blaise Matuidi turut memaparkan gambar yang sama dengan mesej ‘hitam dan putih’ #tidakkepadaperkauman. Bagaimanapun, seorang lagi rakan sepasukannya, Leonardo Bonucci menganggap Kean tidak perlu melakukan provokasi kepada penyokong lawan dan Kean harus menyalahkan diri sendiri atas kejadian itu. Namun, tindakan Bonucci itu mendapat kecaman daripada pemain-pemain lain seperti Raheem Sterling, Yaya Toure, Mario Balotelli dan Kevin Prince Boateng yang menyokong tindakan Kean dan menyelar kata-kata yang dikatakan oleh Bonucci.

 

Dani Alves

Ketika di Barcelona, Dani Alves menerima cemuhan berbaur perkauman daripada penyokong Villareal. Dalam aksi itu, ketika Dani Alves mahu mengambil sepakan sudut, penyokong Villareal telah mencampak pisang ke arah Alves sebagai tanda ejekan berbaur perkauman di mana ia membawa simbolik orang berkulit hitam adalah seperti monyet. Namun begitu, Alves telah mengambil pisang tersebut dan memakannya sedikit dan terus mengambil sepakan sudut. Tindakan penyokong Villareal itu memakan diri apabila Villareal telah didenda sebanyak 15,000 euro.

 

Bukan lapan pemain ini sahaja yang menjadi mangsa dalam isu perkauman, malah ramai lagi bintang bola sepak yang menjadi mangsa. FIFA dan badan-badan bertanggungjawab perlu mengambil serius tentang perkara ini supaya tidak menimbulkan perkara yang lebih besar dalam arena bola sepak.

Foto : Sportskeeda