Sebanyak lapan pasukan dari tujuh negara bakal berentap dalam Kejohanan Piala Seri Mutiara 2017 (Seri Mutiara Champions Cup) siri ke tiga pada 12 sehingga 17 September di stadium MABA Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif NBL Asia, Tan Kee Hian berkata, pihaknya menganjurkan kejohanan tersebut adalah bagi tujuan untuk memajukan komuniti sukan bola keranjang tanah air.

Tambahnya, acara tersebut dijangka sengit dengan penyertaan dari pasukan bekas juara musim lalu, seperti Guangzhou Securities (China), naib johan NS Matrix dan juga Tochigi Brex dari negara matahari terbit.

“Pada kejohanan yang lalu, skuad negara telah meraih tempat kedua dalam kejohanan ini sekaligus berjaya mengharumkan nama negara.

“Kali ini pasukan dari negara China perlu berusaha untuk mempertahankan gelaran johan mereka,” katanya.

Kee Hian berkata, Yuta Tabuse dari pasukan Tochigi Brex bakal beraksi dalam kejohanan tersebut akan lebih memeriahkan kejohanan itu.

Tambahnya, Yuta Tabuse merupakan pemain pertama dari Jepun yang menyertai pertandingan NBA Asia dan diberi gelaran sebagai Michael Jordan Jepun.

“Antara pemain terkemuka lain yang juga bakal beraksi dalam pertandingan ini ialah seperti Takatoshi Furukawa yang merupakan pemain terkenal tahun ini dalam pertandingan MVP liga bola keranjang Jepun, Kim Jong-Kyu dari LG Sakers (Korea) dan juga Abubakar Usman dari Kano Pillars (Nigeria),” ujarnya.

Di samping itu, NBL Asia juga akan mempamerkan banyak aktiviti menarik bagi peminat yang hadir ke stadium MABA. Antaranya, mereka berpeluang untuk memenangi wang tunai sebanyak RM5,000 dalam pertandingan meneka bilangan bola keranjang. Selain itu, dua peminat bertuah yang berjaya membuat jaringan ‘3-pointer dan half-court shot’ juga bakal berpeluang memenangi dua tiket penerbangan ke Beijing, China.