Connect with:




Futsal merupakan versi bola sepak tertutup yang secara rasmi diselia oleh badan pentadbiran antarabangsa bola sepak, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Namanya berasal daripada bahasa Portugis futebol de salão, dan bahasa Sepanyol fútbol de salón. Kedua-duanya bermaksud ‘bola sepak dalam dewan’.

Futsal dimainkan oleh lima pemain dalam satu pasukan. Salah seorang daripadanya merupakan penjaga gol. Pada masa sekarang futsal berkembang dengan pesat. Banyak gelanggang-gelanggang baru dibina bagi tujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai keseronokan bermain futsal. Ia bukan sahaja terhad kepada golongan lelaki tetapi juga perempuan.

Malah futsal bukanlah sukan yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia pada ketika ini. Dalam artikel ini, kami ingin kongsikan jenis-jenis pemain yang mungkin ada dalam setiap pasukan futsal. Tak sah kalau mereka tiada dalam pasukan anda.

 

  1. Dia yang paling ‘power’ dalam pasukan anda. Siapa dia?

Key Player

Tidak sah kalau dia tiada dalam pasukan korang kan? Dialah yang paling penting. Sebab dalam pasukan tersebut dialah yang paling hebat bermain. Kebiasaannya jika dia tiada, pasti pasukan mungkin tidak berfungsi. Selalunya dialah yang akan diajak terlebih dahulu untuk masuk pasukan anda bukan? Lebih-lebih lagi bila nak masuk pertandingan. Bila adanya dia, pasti yang lain akan turut serta dalam pertandingan itu. Tapi perlu berhati-hati jika anda melakukan kesilapan pasti anda akan kena maki dengan dia.

  1. Siapa terkena bola rembatan dia ini, pasti berbekas. Siapa agaknya?

Kaki Shoot

Siapa yang sini jenis kaki rembat? Bukan rembat barang orang, tapi rembat bola dengan sungguh padu macam peluru. Dia ini pantang dapat bola, lagi-lagi depan gol dan dia yang mampu membuatkan semua orang takut nak dekat dengan dia sebab takut kena rembat. Mahu tidak takut? Sekali dia rembat, berdoalah terus agak bola itu tidak kena pada anda. Kalau kena, boleh buat kenangan kesan bola pada badan, pasti lebam punya. Kadang-kadang penjaga gol pun terpaksa lari dengan dia dia, tinggalkan gol bagi dia score yang penting ‘Keselamatan Diutamakan’.

  1. Jika mahu lihat gerakan Ronaldinho, cuba hantar bola kepada dia.

Kaki Gelecek

Yang ini tidak kurang hebatnya. Semua orang sudah tahu bahawa kemahiran gelecek memang sangat penting dalam sukan futsal. Lagi hebat anda gelecek, lagi senanglah anda untuk melepasi diri dari pihak lawan. Oleh itu, sudah pasti setiap pasukan mengidamkan sekurang-kurangnya seorang kaki gelecek bukan? Jika anda tidak tahu untuk hantar bola pada siapa dan tidak tahu nak buat apa, cuba hantar bola pada dia. Lepas itu dia tahulah nak buat apa. Tapi jika anda terlalu obses gelecek bola sampai merugikan pasukan, bersedialah dibangku simpanan selepas ini.

  1. Dia salah seorang pemain yang mungkin kurang pandai bermain tapi semangat itu ada. Inilah posisi sesuai dengannya.

Goalkeeper Terpaksa

Penjaga gol merupakan posisi yang selalu menjadi masalah dalam pasukan futsal. Posisi lain hanya petik jari pasti ramai yang berebut inginkannya.

Tapi bila masuk bab penjaga gol ini, semua buat tak tahu, sibuk panaskan badanlah, sembanglah dan paling teruk masa itulah sakit perut. Masing-masing bingung tidak tahu nak suruh siapa yang jadi. Akhirnya, terpaksa jugalah seorang yang kena jadi penjaga gol walaupun muka ketat, sebab dialah yang paling kurang pandai dalam pasukan tersebut. Pernahkah anda mengalami situasi ini?

  1. Anda merasakan dia yang paling hebat dalam pasukan tapi malangnya…..

Si Poyo

Nasib baik futsal perlu bermain dengan kaki kalau ianya perlu bermain dengan mulut, memang dialah yang paling handal dalam dunia. Dia inilah yang sentiasa sembang kencang dengan semua orang. Dialah yang sering cakap besar tentang dirinya selain membuat onar dalam pertandingan. Tapi hakikatnya bila main, rupa-rupanya kemahiran kakinya tidak sama langsung dengan kemahiran mulutnya. Macam minta makan ‘kaki’ pula orang macam ini kan?

  1. Pemain yang menjadi penyokong tegar. Siapa dia ini?

Benchwarmers

Dalam setiap pasukan futsal, sekurang-kurangnya memerlukan tujuh atau lapan pemain. Lima akan bermain dan dua atau tiga duduk di luar  sebagai pemain gantian. Tetapi ada juga situasi di mana pemain gantian ini tidak dapat bermain langsung cuma menjadi penjaga beg atau sekadar penyokong tegar di luar gelanggang. Mereka sekadar duduk luar dan panaskan bangku sahaja. Kesian tapi nak buat macam mana. Siapa yang pernah alami situasi macam ini, macam mana best tak?

  1. Jangan risau jika tidak cukup orang untuk bermain, cuba ajak dia ini.

Last Minute Player

Perkara sebegini pasti tidak akan lari dengan kita bukan? Pasti anda akan menghadapi situasi di mana pasukan anda tidak cukup pemain. Jadi, terpaksalah ajak mana-mana kawan untuk main asalkan cukup kuota. Kawannya itu pasti gembira dan teruja apabila dia diperlawa untuk bermain bersama tapi sayangnya dia hanya dipandang sepi maklumlah cukupkan kuota, pilihan terakhir.

  1. Nampak ‘nerd’ tapi bila main, terkejut!

Hidden Talent Player

Pernah atau tidak anda mempunyai kawan nampak macam skema dan mereka tidak tahu pasal bola? Tapi pasti ada satu masa anda terpaksa menggunakan khidmatnya untuk cukupkan orang bukan? Awal-awal pasti ramai yang memandang rendah kebolehan dia, tapi skema bukan sebarang skema, lambat laun anda yang panaskan bangku simpanan nanti. Mesti ramai yang tidak menyangka bakat terpendam dia, itulah lain kali jangan sesekali pandang rendah pada seseorang dengan hanya tengok luaran sahaja.

Tapi sebenarnya tidak kisahlah siapa sekali pun dalam pasukan anda, semuanya mempunyai peranan dan tugasan masing-masing dalam mencapai kejayaan. Sudah pasti semua orang berpeluang untuk menjadi yang terbaik, tidak kira berapa besarnya cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Sukan menyatu padukan masyarakat dan mampu meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri. Majulah Sukan Untuk Negara!