Connect with:




Umumnya, ramai yang mengetahui bahawa 25 Disember merupakan perayaan hari Krismas bagi penganut Kristian. Namun, berbeza dengan komuniti Chumbivilcas, berhampiran Cuzco di Peru, hari tersebut adalah hari yang sempurna bagi mereka untuk merebut peluang bergaduh. Bukan bergaduh untuk berperang, tetapi bergaduh untuk merapatkan hubungan.

Takanakuy yang bermaksud “apabila darah mendidih” dalam Quechua, salah satu dialek tertua Peru, adalah perayaan tahunan yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan perbezaan peribadi dengan ahli komuniti mereka mengikut cara yang agak berbeza, melalui keganasan. Jom kita lihat trivia menarik mengenai Takanakuy ini;

 

  • Perayaan ini berlaku pada setiap 25 Disember dan merupakan tradisi asli rakyat Peru yang berkait rapat dengan kehormatan keluarga, reputasi dan ketidakpercayaan dalam sistem kehakiman.

 

  • Takanakuy dilihat oleh ramai sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan tekanan selain menjernihkan hubungan sesiapa yang dingin sebelum memasuki Tahun Baru.

 

  • Para peserta (lelaki, wanita dan kanak-kanak) akan berkumpul di gelanggang, di mana mereka terlibat dalam pertempuran tersebut dan diawasi oleh pihak berkuasa tempatan yang berperanan sebagai pengadil.

 

  • Peserta tidak dibenarkan memukul pihak lawan ketika mereka rebah dan akan disebat sekiranya mereka lupa tentang peraturan ini.

 

  • Kebanyakan daripada mereka hanya mahu membuktikan keberanian dan kemahiran mereka dalam bertempur sementara yang lain ingin menghormati masyarakat, atau membuat keluarga mereka bangga.

 

  • Kebanyakan pejuang menutupi wajah mereka dengan topeng ski tradisional yang berwarna-warni dan menggantung haiwan boneka yang berbeza pada mereka, untuk menakutkan lawan.

 

  • Ramai peserta yang menamatkan pertempuran dengan darah yang mengalir dari mulut dan hidung mereka, tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang simpan dendam kerana mereka tahu peluang masih ada untuk pertandingan in pada tahun berikutnya.

 

Natijahnya, Takanakuy mungkin kelihatan seperti adegan pergaduhan berunsurkan keganasan yang tidak masuk akal. Sebaliknya bagi rakyat Peru, perayaan ini merupakan tradisi yang penting dari warisan budaya mereka. Apa sahaja masalah yang mereka hadapi antara satu sama lain, peserta akan memeluk terlebih dahulu sebelum bertarung dan menamatkan pertarungan dengan cara yang baik. Hal ini juga merupakan kaedah yang mudah dan berkesan untuk menghilangkan tenaga negatif yang ada pada masyarakat Peru.

Foto Kredit: Karel Navarro