Connect with:




Mohamed  Salah sememangnya sedang menikmati musim yang hebat dalam karier bolasepak beliau apabila muncul sebagai pemain paling menonjol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Penyerang Liverpool itu telah menjaringkan sebanyak 28 gol dalam kempen Liga Perdana musim ini sekali gus telah menarik minat kelab berbelanja besar, Real Madrid untuk mendapatkan khidmatnya.

Mari kita lihat tujuh perkara yang akan berlaku sekiranya Mo Salah menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini.

1. Pengganti Ronaldo

Penyerang prolifik, Cristiano Ronaldo ketika ini kembali berada di kemuncak prestasi apabila mengumpul 22 gol dalam saingan La Liga dan juga 12 gol dalam Liga Juara-Juara. Walaubagaimanapun, karier Ronaldo bersama Los Blancos semakin hampir ke penghujungnya kerana beliau kini berusia 33 tahun dan kehadiran Mo Salah dilihat sebagai pengganti jangka panjang kepada Ronaldo.

 

2. Tiada Neymar

Real Madrid dijangka akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan khidmat Salah dan jika perpindahan itu berlaku ini akan melenyapkan spekulasi terhadap kehadiran Neymar di Bernabeu.

Sebelum ini kecoh apabila bekas bintang Barcelona itu dikatakan tidak gembira di Paris Saint-Germain (PSG) dan ingin kembali ke saingan La Liga dengan Real Madrid menjadi pilihannya.

 

3. Kehilangan Liverpool, berita gembira buat Man United

Jika perpindahan itu benar-benar berlaku, masa depan Gareth Bale di Bernabeu akan berakhir dan ini merupakan satu berita gembira buat musuh tradisi Liverpool, Manchester United. The Red Devils sudah lama memantau perkembangan Bale di Madrid dan ingin mendapatkan khidmatnya jika beliau mahu berhijrah. Satu kelebihan buat United dan kekurangan buat Liverpool kerana kehilangan Salah.

 

4. Kelab ‘pengeluar’

Setelah menjual beberapa pemain bintang mereka seperti Fernando Torres, Luis Suarez dan Philippe Coutinho, penjualan Salah ke Real Madrid akhirnya akan meletakkan Liverpool sebagai sebuah kelab ‘pengeluar’.

 

5. Sejarah akan berulang kembali di Anfield

Liverpool telah membuktikan bahawa mereka berjaya mengatasi masalah kehilangan pemain bintang mereka dengan membeli pemain baru dan menjadikan mereka ‘bintang’. Jikalau Mo Salah menyertai Real Madrid, Liverpool terpaksa mencari penggantinya dan membentuk sekali lagi pemain baru mereka untuk menjadi seperti Salah.

Namun persoalannya, adakah bakat baru yang digilap oleh Liverpool akan sekali lagi meninggalkan mereka untuk kelab yang lebih besar?

 

6. Peluang keemasan buat Mo Salah

Daripada seorang pemain buangan dari Chelsea kepada orang penting di Real Madrid, Mo Salah akan membuatkan kita semua percaya akan ‘kisah dongeng’ jika beliau melengkapkan perpindahannya ke Sepanyol musim panas ini.

Perpindahan mega ke kelab Madrid itu juga menjadi salah satu titik kebangkitan buat Salah selepas beberapa kali bertukar kelab dan beliau juga menjadi ikon di negaranya iaitu Mesir.

 

7. Tiada istilah ‘Next Year’ untuk The Reds

Salah sememangnya memacu Liverpool dalam saingan Liga Perdana musim ini dan kehilangannya akan mengakhiri impian kelab Merseyside itu untuk memenangi gelaran pertama mereka selepas 29 TAHUN TANPA KEJUARAAN LIGA. #YNWA

Foto Kredit : thesun(dot)co(dot)uk