Connect with:




Peminat gusti di Malaysia pasti terhibur dan seronok menyaksikan acara terulung WWE iaitu Wrestlemania 35 yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey, New York semalam. Daripada 16 pertarungan, 9 daripadanya adalah pertarungan untuk merebut dan mempertahankan gelaran. Apa yang menariknya, 7 gelaran telah bertukar milik dalam acara terbesar itu. Mari kita lihat tujuh pemenang gelaran baru di Wrestlemania 35.

Cruiserweight Championship

Tony Nese menewaskan Buddy Murphy untuk menang gelaran

Tony Nese berjaya merampas gelaran yang di pegang Buddy Murphy selama enam bulan di WWE 205 Live. Sebelum aksi pertarungan di Wrestlemania 35, mereka berdua sudah terlibat dalam banyak pergaduhan, dan provokasi. Nese berjaya menunjukkan aksi pertarungan yang baik selepas melakukan Springboard Moonsault, Corkscrew Moonsault dan 450 splash. Namun, Murphy masih belum ditewaskan. Murphy berjaya melakukan ‘Murphy Law’ tetapi Nese masih mampu meneruskan pertarungan. Pada penghujung pertarungan, Nese berjaya melakukan Germain Suplex di sudut gelanggang dan melakukan ‘Running Knee’ untuk memenangi gelaran Cruiserweight Championship.

Raw Tag Team Champion

Zack Ryder & Curt Hawkins menewaskan The Revival (Scott Dawson & Dash Wilder) untuk menang gelaran

Curt Hawkins berjaya menamatkan kekalahan berterusannya di WWE selepas tidak pernah menang dalam 269 pertarungan. Mula bergandingan semula bersama Zack Ryder, Hawkins dilihat mendapat motivasi dan suntikan semangat baru. Walaupun dalam tiga perlawanan di Raw mereka tewas, peluang di Wrestlemania 35 tidak disia-siakan oleh mereka berdua. Menentang The Revival, pertarungan dilihat seimbang walaupun Ryder dan Hawkins dilihat sebagai underdog. Aksi pertarungan dihiasi dengan pergerakan double team kedua-dua pasangan. Namun, pada aksi terakhir, Hawkins melakukan pinfall dengan rolled up kepada Dawson untuk memenangi gelaran Raw Tag Team Champion.

Women Tag Team Championship

The Ilconics (Billey Kay & Peyton Royce) menewaskan Boss ‘N Hug Connection (Sasha Bank & Bayley), Beth Pheonix & Natalya, Nia Jax & Tamina Snuka untuk menang gelaran

Dalam pertarungan ini, terdapat beberapa aksi menarik yang ditampil oleh keempat-empat tag team ini. Antaranya, Natalya melakukan ‘Sharpshooter’ ke atas Bayley dan Sasha Bank dalam waktu yang sama. Selain itu, Nia Jax dan Tamina Snuka melakukan double Samoan Drop kepada The Ilconics. Di penghujung pertarungan, Beth Pheonix melakukan ‘Glam Slam’ ke atas Bayley. Dalam masa yang sama The Ilconics datang untuk menolak beth ke luar gelanggang dan membuat pinfall ke atas Bayley untuk menang gelaran pertama mereka di WWE.

Intercontinental Championship

‘Demon’ Finn Balor menewaskan Bobby Lashley untuk menang gelaran

Permusuhan antara mereka berdua memang tidak dapat dinafikan. Setelah silih berganti bertukar gelaran, kini mereka dipertemukan lagi dalam aksi pertarungan dalam Wrestlemania 35. Finn Balor bermula baik dengan melakukan serangan kepada Bobby Lashley. Namun, selepas diganggu oleh Lio Rush di sisi gelanggang, Lashley melakukan dua kali Spear ke atas Balor. Balor selepas itu melakukan Power Bomb dan Coup de Grace untuk menamatkan pertarungan dengan kemenangan.

WWE Championship

Kofi Kingston menewaskan The New Daniel Bryan untuk menang gelaran

Selepas 11 tahun berada di WWE, Kofi Kingston akhirnya berjaya menjulang gelaran WWE Championship pada acara terbesar Wrestlemania. Mendapat sokongan hampir 80,000 penonton dan rakan-rakan WWE yang lain, Kofi bermula agak baik dengan menyerang Daniel Bryan. Kofi juga beberapa kali terpaksa menahan dan melepaskan diri daripada submission daripada Bryan. Bryan cuba melakukan ‘Running Knee’ namun berjaya dielak oleh Kofi. Kofi berjaya melakukan S.O.S tetapi dibalas LeBell Lock oleh Bryan. Bryan turut melakukan Yes Kick kepada Kofi. Pertarungan menjadi semakin menarik apabila selepas Kofi masih mampu bertahan selepas terkena Running Knee daripada Bryan. Bryan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kofi akhirnya berjaya memenangi pertarungan selepas melakukan ‘Trouble in Paradise’ kepada Bryan.

Universal Championship

Seth Rollins menewaskan Brock Lesnar untuk menang gelaran

Buat kali pertama dalam sejarah WWE, pertarungan Universal Championship berlaku pada permulaan Wrestlemania. Dalam pertarungan itu, Seth Rollins yang belum sempat masuk ke gelanggang telah diserang oleh Brock di luar gelanggang. Brock membelasah Rollins dengan teruk ditambah ‘F5’ di luar gelanggang. Brock juga melempar Rollins ke meja pengulas beberapa kali. Apabila kedua-dua sudah berada di dalam gelanggang, pertarungan baru di mulakan. Brock melakukan tiga kali Germain Suplex kepada Rollins dan ingin membuat F5 tetapi Rollins mengelak dan menolak Brock ke arah pengadil yang menyebabkan pengadil jatuh ke luar gelanggang. Rollins menggunakan peluang yang ada dengan melakukan hentakan yang kuat ke arah kemaluan Brock (dilarang dalam pertarungan) yang menyebabkan Brock jatuh dan meraung kesakitan. Rollins melakukan tiga kali ‘Curb Stomp’ untuk menewaskan Brock Lesnar dengan pinfall.

Raw & Smackdown Women Championship (Winner Take All)

Becky Lynch menewaskan Ronda Rousey & Charlotte Flair untuk menang gelaran

Kali pertama dalam sejarah Wrestlemania acara utama melibatkan atlet gusti wanita. Triple Threat antara pemegang gelaran Raw Women, Ronda Rousey, pemegang gelaran Smackdown Women, Charlotte Flair dan pemenang Women Royal Rumble 2019, Becky Lynch. Ketiga-tiga mereka sangat terkenal dengan submission yang mampu mengalahkan lawan mereka. Namun dalam pertarungan ini, submission mereka tidak mampu mengalahkan lawan kerana ketiga-tiga mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk memenangi kedua-dua gelaran. Walaupun Ronda melakukan Armbar, Charlotte melakukan Figure 8 Leg Lock dan Becky melakukan Disarm Her, mereka masih tidak memenangi pertarungan. Pertarungan ini berakhir dengan Ronda melakukan Standing Reverse Kata Guruma kepada Becky namun Becky berjaya memerangkap Ronda dengan melakukan pinfall selepas kedua-dua bahu Ronda berada di bawah.

Selain daripada 7 gelaran yang bertukar milik, dua gelaran berjaya dipertahankan iaitu Smackdown Tag Team Championship oleh The Usos dan United State Championship oleh Samoa Joe. Berikut antara pertarungan lain yang berlangsung di Wrestlemania 35.

Roman Reigns menewaskan Drew McIntyre

AJ Styles menewaskan Randy Orton

Triple H menewaskan Batista (No Holds Barred Match)

Baron Corbin menewaskan Kurt Angle (Kurt Angle Farewell Match)

Shane McMahon menewaskan The Miz (Fall Count Anywhere Match)

Braun Strowman menang Battle Royal Andre The Giant

Carmella menang Women Battle Royal

Foto: WWE