Pasukan ‘Manchester City’  Malaysia,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memancing dua pemain yang pernah beraksi bersama dalam skuad Sukan Universiti Dunia 2011 iaitu Amirizdwan Taj dari UiTM FC dan K. Reuben dari UKM.

Amirizdwan Taj, kapten UiTM FC musim lalu memilih untuk beraksi dalam Liga Perdana bersama ATM walaupun mengesahkan ada menerima tiga tawaran lain dari pasukan Liga Super.

“Saya memilih untuk bersama pasukan dibawah kendalian jurulatih B. Sathianathan berdasarkan reputasinya sebagai jurulatih yang berwibawa dan mampu meningkatkan prestasi saya,” ujar pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah ini lagi.

Dia mengakui memang pada asalnya B. Sathianathan ingin membawanya ke Kelantan, namun setelah jurulatih tersebut ke ATM, dia ditawarkan pula ke situ. Antara harapannya adalah untuk memberikan persembahan terbaik, meningkatkan prestasi agar kekal dalam pasukan serta dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Selain memancing nama-nama besar Liga Super, turut dibawa masuk adalah pemain-pemain dari pasukan Liga Perdana seperti penjaring terbanyak Liga Perdana 2011 Mohd Fitri Omar dari MP Muar FC, Christee Jayaseelan (PKNS FC) dan A. Varathan dari Sime Darby FC.