SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA PULA.

Itulah perumpamaan yang sesuai buat pasukan ibu kota, Kuala Lumpur. Dihimpit krisis kewangan, kini Kuala Lumpur terpaksa pula mencari kos tambahan bermain jauh sebagai tuan rumah di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Untuk membantu, peminat yang prihatin baru-baru ini melancarkan Kempen “Selamatkan PBKL” bagi meringankan beban kewangan pasukan. Sejumlah RM700 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Setiausaha Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL), Nokman Mustaffa dalam majlis ringkas pada pagi Sabtu lalu.

Turut hadir bersama-sama memberi sokongan dan sumbangan adalah Ketua Pegawai Eksekutif MSL Sdn Bhd iaitu Stuart Ramalingam, jurnalis Haresh Deol dan jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail.

Dalam majlis itu juga, Nokman bersetuju untuk meneruskan kempen ini tertakluk kepada persetujuan dari exco persatuan. Jika dipersetujui, peminat yang ingin menyumbang boleh melakukannya dengan cara memasukkan sumbangan ke akaun bank PBKL.

Selain itu, poster kempen yang dibuat oleh kelab penyokong siber Negeri Sembilan, N9futbol.com akan terpampang sekurang-kurangnya di 48 teksi sekitar Kuala Lumpur bagi meluaskan kesedaran penyokong.  Poster juga boleh dilihat di laman facebook Kelantan FA.

Walaupun jumlah kutipan yang diperolehi kecil, diharapkan usaha ini sebagai permulaan untuk mengembalikan kegemilangan Kuala Lumpur seperti dahulu.