Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengganas di Stadium Mini Lundu, kelmarin apabila membelasah tuan rumah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam saingan Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi – Liga IPT 2011 – namun naib juara musim lalu itu terkeluar daripada saingan merebut gelaran.

UKM yang dipimpin bekas pemain Kuala Lumpur, Mohd Farid Dewan menang selesa 7-1 tetapi mereka kekal di tangga ketiga selepas dua lawan teratas, Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) dan Kolej Komuniti Kedah (KKK) meneruskan rentak kemenangan.

Juara bertahan, UiTM Shah Alam menang tipis ke atas Politeknik Kota Bharu (PKB) 2-1 tetapi mereka terus ungguli carta teratas dengan 16 mata manakala KKK yang menewaskan jirannya, Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) 5-1, mengekori dengan perbezaan dua mata.

Ini bermakna penentuan juara musim kedua, terpaksa diputuskan pada saingan terakhir Sabtu ini yang menyaksikan kelebihan memihak pendahulu liga.

UiTM Shah Alam atau Lions Troop melayan kunjungan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) manakala KKK berkunjung ke UMS.

Tetapi jika ia berkesudahan seri dan KKK menang, pasukan Hijau Kuning bakal muncul juara dengan kelebihan jaringan sekalipun mereka terikat dengan 17 mata.

“Melihat kepada kedudukan, kami masih berpeluang untuk muncul juara,” kata pengendali KKK, Mohammad Ramlee.

“Tetapi tentunya ia bergantung kepada keputusan UiTM. Jika mereka juga menang pada aksi terakhir, kami tidak mampu memintas lagi sekalipun menang besar. Apa pun saya yakin anak buah saya mampu melakukannya.”

KKK terus meletakkan harapan kepada peledak utamanya, Muhammad Faridzuan Fauzi dan Ku Nazri Azuan Ku Azizan, masing-masing menyumbang enam gol untuk merealisasikan impian.

Sementara itu, pengurus UMS, Andrew Manjanggim kecewa anak buah gagal menyempurna banyak peluang terhidang termasuk sepakan penalti ketika menentang UTHM yang berkesudahan seri 2-2 di Kota Kinabalu.

Keputusan seri itu bermakna UMS kekal di tangga ketiga tetapi terselamat daripada tersingkir ke Divisyen 2 musim depan kerana dua pasukan corot, tidak mampu lagi memintas sekalipun menang hujung minggu ini.

“Walaupun seri saya bangga juga kerana pasukan kami kekal dalam Divisyen 1 dan saya yakin kami lebih bersedia musim depan,” kata Manjanggim.