Azli Puddin, Pengurus Pusat Sukan UTHM (tiga dari kiri), Ybhg, Prof Ir. Dr. Amir Hisham, Penolong Naib Cancelor HEPA, UTHM (tengah) dan Tony Azman Hassan, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Sukan KPT (lima dari kiri) bersama pesilat yang memperagakan trofi kejohanan

 

Kalendar sukan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) kembali meriah dengan berlangsungnya Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri di Square One, Batu Pahat pada 17 hingga 22 September ini.

Kejohanan yang masuk edisi ketiga ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA).

Menurut En.Tony Azman selaku Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan KPT, penganjuran edisi kali ini sedikit istimewa berbanding edisi-edisi sebelumnya dengan terdapat peningkatan jumlah pesilat dalam dan luar negara.

“520 pesilat tempatan serta 80 pesilat antarabangsa bakal memeriahkan kejohanan dengan peningkatan seramai 150 pesilat berbanding 2 edisi sebelum ini. Kejohanan kali ini juga menjadi sebahagian dari kalendar SUKIPT (Sukan IPT) dimana pingat emas yang dimenangi setiap atlet IPT tersebut akan dimasukkan dalam pungutan pingat SUKIPT. Selain itu kita juga menerapkan elemen pendidikan terutamanya kepada atlet antarabangsa” ujarnya lagi.

Kejohanan akan dibahagikan kepada 5 kategori iaitu silat olahraga IPT tempatan, silat olahraga antarabangsa, silat seni tempatan, silat seni antarabangsa dan kategori baru silat seni pelajar antarbangsa khas untuk pelajar antarabangsa yang belajar di Malaysia

Bagi kategori antarabangsa yang akan disertai pesilat dari Belanda, Belgium, Thailand, Singapura dan banyak lagi, ianya akan menjadi medan persediaan pasukan silat AUG negara (Sukan Universiti Asean) dalam menghadapi temasya dwitahunan itu di Vientiane, Laos bulan Disember nanti.

Pengurus pasukan silat AUG negara, Azli Puddin berkata, untuk kejohanan Piala Timbalan Perdana Menteri ini, Malaysia yang diwakili 28 pesilat mensasarkan 3 pingat emas sekaligus mempertahankan status juara keseluruhan yang dimenangi tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup nanti.