90

Sukan bola sepak tiada beza dengan sebuah kehidupan  –  untuk berjaya dalam sukan ini, seseorang itu perlu ada sifat jati diri, sanggup berkerja keras, pengorbanan jitu, dedikasi tinggi serta saling menghormati. 

Tentunya, bola sepak sangat bermanfaat untuk remaja dalam jangka masa panjang.

Atas alasan itu, Frenz United Football Academy (FUFA) berbangga untuk memperkenalkan kejohanan bola sepak antarabangsa peringkat umur – Frenz International Cup 2012 – buat julung kalinya di Kuala Lumpur.

Kejohanan untuk remaja bawah 15 tahun (B15) ini akan berlangsung pada 28 Disember 2012 hingga 6 Januari 2013.

Majlis pelancaran kejohanan ini telah berlangsung pada 17 Disember 2012 di Best Western Premier, Dua Sentral, Kuala Lumpur.

Lapan pasukan – enam negara luar dan dua pasukan tempatan – akan bertarung sepanjang 10 hari untuk mencari juara dengan trofi serta wang tunai berjumlah AS$103,000 (RM320,000) – yang tertinggi dalam sejarah penganjuran peringkat umur di Malaysia – menjadi taruhan.

Enam pasukan luar tersebut ialah Frenz United (Indonesia), Persepolis (Iran), Pasukan Kebangsaan Slovakia, Slavia Praha (Republik Czech), Incheon (Korea Selatan) dan Chonburi (Thailand). Manakala dua pasukan tempatan, Frenz United Malaysia dan B15 Malaysia.

Frenz International Cup beri peluang pemain muda Malaysia bersaing dengan pasukan antarabangsa

Frenz International Cup beri peluang pemain muda Malaysia bersaing dengan pasukan antarabangsa

 

Stadium MBPJ dan Stadium UiTM di Shah Alam, menjadi gelanggang pertarungan merebut wang tunai AS$50,000 untuk juara, naib juara AS$25,000, ketiga AS$15,000, keempat AS$10,000. Manakala AS$3,000 disediakan untuk Pemain Paling Bernilai sepanjang kejohanan berkenaan.

Ketua Jurulatih FUFA, Omar Ali berkata kejohanan sebegini bukan sahaja mempromosi sifat kompetitif kesukanan yang sihat, malahan ia turut menjana semangat setiakawan di kalangan peserta yang datang dari negara dan budaya berbeza.

“Inilah masa untuk kita melihat masa depan sukan bola sepak di negara kita,” kata Omar.

“Pemain-pemain muda negara boleh menilai dan mempelajari aspek relevan dari peserta luar untuk memperbaiki kebolehan sendiri.”

Frenz International Cup 2012 menjanjikan satu acara yang hebat buat penonton. Oleh yang demikian, jangan lepaskan peluang anda. Mari bersama kita menyokong kejohanan ini. Malaysia Boleh!

Untuk maklumat lanjut layari www.frentrophy.com.my atau www.frenzunited.com.my.