Connect with:




Islam tidak pernah menghalang umatnya melibatkan diri dengan aktiviti sukan selagi aktiviti-aktiviti tersebut tidak bertentangan dengan garis panduan syariat Islam. Malah Islam menggalakkan umatnya bersukan secara kerap bagi mengekalkan kecergasan diri dan dapat membantu seseorang itu untuk menunaikan ibadah dengan sempurna dan khusyuk.

Secara umumnya, apa sahaja aktiviti bersukan atau riadah yang mampu menyihatkan dan memberi manfaat kepada tubuh badan manusia boleh dianggap sebagai sunnah dan menjadikan seseorang mukmin semakin kuat dan mampu bekerja untuk Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding daripada orang beriman tapi lemah,” (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjaga kesihatan kerana ia sangat penting untuk melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman kepada umat Islam.

Foto: Tanwir

Banyak dalil dan sirah Rasulullah SAW menekankan sukan seperti memanah, berkuda dan berenang, antara hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:

“Ajarlah anak kamu berenang dan memanah.”

Namun, Pendakwah, Yusri Musa berkata ulama berpendapat hadis ini adalah daif kerana ia adalah kata-kata daripada Ibn Umar RA dab bukannya hadis Rasulullah SAW. –Berita Harian.

Tetapi ada yang lebih jelas menunjukkan kepentingan sukan memanah, berkuda dan berenang, sebangai contoh daripada Uqbah Bin Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika di atas mimbar bermaksud:

“Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” (Riwayat Muslim).

Selain itu Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah dan tunggangilah (kuda)),” (Riwayat Muslim).

 

Sukan Memanah Kegemaran Rasulullah SAW

Sukan memanah merupakan sukan yang digemari oleh Rasulullah SAW, baik sebagai aktiviti riadah mahupun sebagai senjata ketika baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat RA keluar berperang.

Rasululllah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu,” (Riwayat Bazzar dan Thabarani).

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan, Rasulullah SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).”

Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.”

Rasulullah SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua,” (Hadis Riwayat Bukhari).

Foto: Quran Clab

 

Kelebihan Sukan Memanah

Sukan memanah ini mampu mendidik seseorang dari segi emosi dan fizikal kerana memanah sebenarnya mampu membuat seseorang itu lebih bersabar, tenang dan tidak menggelabah ketika ingin meletakkan anak panah pada sasaran.

Banyak kebaikan sukan memanah ini, berikut adalah kebaikan memanah Untuk Kesihatan fizikal Dan mental.

  1. Membaiki kedudukan dan keseimbangan tangan dan mata

Memanah mampu melatih tangan dan mata ketika melakukan tugasan yang berbeza iaitu menyasarkan dan melepaskan anak panah berdasarkan penglihatan. Kesimbangan antara kedua-dua ini sangat penting untuk menjayakan sesuatu dalam sukan memanah dan badan perlu pegun untuk mencari keseimbangan.

  1. Tangan dan jari menjadi lebih fleksibel

Tangan dan jari seseorang yang sentiasa memanah akan menjadi lebih kuat dan lebih fleksibel kerana digunakan keupayaan mereka sepenuhnya untuk membuat sasaran.

  1. Membina kekuatan

Memanah juga mampu membina kekuatan otot kila melakukan latihan dengan betul. Ketegangan pada bahagian otot akan berlaku sebelum pemanan melepaskan tali untuk melepaskan anak panah. Dengan latihan yang berulang, ia boleh membantu untuk pembentukan otot pada kumpulan tisu otot terutamanya di bahagian atas badan.

  1. Meningkatkan kesabaran

Sesuatu yang akan dipelajari oleh pemanan adalah belajar erti sabar. Sukan memanah adalah sukan yang memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia memerlukan fokus yang memakan masa.

  1. Meningkatkan tahap fokus

Sukan memanah memerlukan fokus dan pemanah perlu menghilangkan semua ganguan dan perlu mengosongkan minda serta memerlukan fokus penuh terhadap sasaran. Dengan latihan sentiasa ia dapat membantu seseorang menghadapi situasi yang bertekanan tinggi dan masalah seharian.

  1. Merehatkan Minda

Sukan memanah merupakan sukan yang unik, kerana dengan melakukan latihan asas memanah sahaja dapat membantu untuk menenangkan minda atau merehatkan minda. Dengan kata lain, sukan memanah ini boleh dijadikan sebagai satu rawatan alternatif untuk merehatkan minda dengan lebih sihat dan selamat.

Secara kesimpulannya, aktiviti memanah dapat melatih dan menjadikan seseoran itu lebih positif, penyabar, tenang, berstrategi serta lebih berfikiran terbuka dan rasional untuk mengatasi masalah. Malah sukan ini juga mampu meningkatkan kecergasan fizikal terutamanya di bahagian anggota badan.

Foto: My Archery