Dua beregu negara, Goh V Shem – Lim Kim Wah serta Koo Ken Kiat –  Tan Boon Heong bakal bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menumpaskan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Ken Kiat dan Boon Heong mara selepas menewaskan Yonathan Suryatama – Hendra Gunawan 21-15,21-15 dari Indonesia.

Koo Ken Kiat - Tan Boon Heong

Koo Ken Kiat – Tan Boon Heong

 

V Shem – Kim Wah pula terpaksa berhempas pulas selama 54 minit sebelum berjaya menidakkan cabaran gandingan Denmark, Ramus Bonde – Mads Conrad Petersen dengan mata 23-21, 16-21, 21-11.

Malaysia turut diwakili dua lagi pasangan di pusingan kedua nanti iaitu Hoon Thien How – Tan Wee Kiong yang menewaskan Christian Skovgaard dari Denmark 22-20, 21-19 serta Gan Teik Chai – Ong Soon Hock yang menjinakkan lawan mereka iaitu gandingan England-Scotland, Marcus Ellis-Paul Van Rietvelde dengan mata 15-21, 21-17, 22-20.

Dalam acara beregu wanita pula, kesemua pasangan negara gagal melepasi halangan masing-masing. Walaubagaimanapun, Malaysia berjaya menempah 2 slot pusingan kedua dalam acara beregu campuran selepas gandingan Tan Aik Quan – Lai Pei Jing serta pilihan utama Chan Peng Soon – Goh Liu Ying.

Kedua-dua beregu ini bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke pusingan seterusnya. Aik Quan – Pei Jing menang 21-11,17-21,21-12 keatas Thitipong Lapoe – Peeraya Munkitamorn dari Thailand sementara Peng Soon – Liu Ying menang 21-8, 15-21, 23-21 juga keatas pasangan Thailand, Sudket Prapakamol – Duanganong Aroonkesorn.

Chan Peng Soon - Goh Liu Ying

Chan Peng Soon – Goh Liu Ying

 

Peng Soon mengakui persembahan mereka berdua sedikit menurun terutamanya sejak beberapa kejohanan yang lepas.

“Memang permainan kami tadi tidak berapa menjadi. Saya harap kami perbetulkan kembali aksi kami terutamanya dari segi komunikasi agar dapat tingkatkan lagi prestasi permainan menjelang pusingan kedua nanti” kata Peng Soon.

Gandingan nombor 1 negara ini seterusnya akan menentang Mads Pieler Kolding dan Kamilia  Juhl dari Denmark sementara Aik Quan – Pei Jing bakal berhadapan dengan lawan dari Scotland, Robert Blair – Jillie Cooper.