5700 PELARI UJI CABARAN BERLARI DI LEBUHRAYA BESRAYA

Seramai 5700 peserta telah menyertai larian IJM-Allianz Duo Highway Challenge siri pertama yang diadakan di Lebuhraya BESRAYA pada Ahad. Ia merangkumi dua kategori jarak larian iaitu 13km dan 6km.

Bermula di Plaza Tool Loke Yew, para peserta kemudian menyusuri beberapa lokasi menarik seperti Jalan Istana, Salak Selatan, Balakong dan Ampang. Pemandangan menarik bandaraya Kuala Lumpur dapat disaksikan dari laluan ini.

Acara-acara sampingan turut diadakan di Race Villange termasuk permainan kejutan elektrik dan cabaran 1 minit yang dianjurkan IJM selain promosi insuran rumah eksklusif dari Allianz.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation, Dato’ Soam Heng Choon ketika ditemui media menyatakan keterujaannya melihat kejayaan acara ini yang berjaya menarik ramai penyertaan dari komuniti sukan Malaysia.

“Acara sukan adalah tunjang kami dalam melaksanakan aktiviti CSR. Ia selaras dengan matlamat kami dalam menggalakan budaya bersukan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dikalangan masyarakat bandar” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakir Khir turut mengeluarkan nada yang sama dengan memberi penekanan terhadap kepentingan menggalakan aktiviti kecergasan dalam kehidupan seharian.

“Komuniti larian di Malaysia semakin berkembang. Kerjasama kami (Allianz) bersama IJM menambah lagi peluang untuk mereka berlari dengan cara yang tersendiri iaitu di atas lebuhraya. Saya pasti siri kedua akan berlangsung lebih meriah selepas melihat kejayaan siri pertama di Lebuhraya Besraya ini”.

Poo Vasanthan Subramaniam menjuarai acara kategori terbuka lelaki 13km dengan catatan masa 44 minit 55 saat diikuti Nik Fakaruddin Ismail di tempat kedua dan Anas Rsoli di tempat ketiga.

Bagi kategori wanita pula, catatan 54 minit 5 saat membilehkan Sheela Samivelu muncul pemenang tempat pertama, menewaskan Lou Chooi Fern dan Michelle Looi Mei Yan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Siri kedua Duo Highway Challenge seterusnya akan diadakan di Lebuhraya NPE pada 10 September 2017. Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM2000 beserta pakej percutian ke Osaka.