Connect with:




Adrenalin penonton di Axiata Arena Jumaat lalu memuncak ketika menyaksikan aksi-aksi pertarungan hebat pada acara ONE CHAMPIONSHIP yang singgah ke Malaysia untuk pertama kali tahun ini.

Ribuan yang hadir di ke acara ONE:MASTERS OF DESTINY pastinya berpuas hati dengan persembahan para pertarung terbaik MMA termasuk barisan atlet dari Malaysia.

Berikut 5 perkara yang menjadi bualan pada malam tersebut.

 

1) NICOLINI KEJUTKAN ANGELA LEE

Selepas tewas kepada Xiong Jingnan dalam usaha merebut tali pinggang strawweight dunia, Angela Lee kembali beraksi dalam kategori berat yang sama, kali ini menentang jaguh BBJ Brazil, Michelle Nicolini.

Peyandang tali pinggang atomweight dunia ini dilihat menguasai pertarungan yang lebih banyak dimainkan secara grounding. Bagaimanapun, Nicolini turut mempamerkan aksi terbaik menerusi gerakan-gerakan grappling yang mengujakan.

Ketika menunggu nama pemenang diumumkan, rata-rata memberi tekaan Angela akan kembali meraih kemenangan selepas tewas sebelum ini di Jepun. Bagaimanapun, keputusan juri memihak sebaliknya. Nicolini menang menerusi keputusan sebulat suara juri. Angela selepas ini akan memberi fokus mempertahankan tali pinggang atomweight dari Xiong Jingnan di Tokyo pada 31 Oktober.

2) JORDAN BOY-VAMPIRE BERIKAN AKSI MUAY THAI TERBAIK

Pertembungan dua jaguh muay thai negara, Mohammad ‘The Jordan Boy” Mahmoud menentang Saiful ‘The Vampire’ Merican antara yang menjadi tumpuan ramai peminat muay thai Malaysia. Boleh dikatakan Axiata Arena menjadi ‘havoc’ menerusi kedatangan kelompok besar penyokong dua petinju ini.

Selepas beraksi dalam 3 pusingan, juri sebulat suara memilih Jordan Boy sebagai pemenang. Ia nyata satu kelegaan buat dirinya yang telah tewas 3 kali berturut-turut sebelum ini.

Bagi Saiful pula, walaupun tewas, ia sebenarnya adalah satu kemenangan untuk dirinya kerana berjaya kembali ke atas pentas selepas berehat hampir 3 tahun lamanya.

3) #HIGHERPURPOSE EV TING BERI IMPAK

Pertembungan Ev Ting dengan Daice Abe dari Jepun boleh disimpulkan antara aksi terbaik yang disajikan pada malam ONE: Masters Of Destiny.

Diasak bertubi-tubi pada pusingan awal, ramai menjangkakan Ev akan tewas di halaman sendiri. Bagaimanapun, Ev bangkit pada pusingan kedua untuk membuat kuncian tengkuk sekaligus membuatkan Abe menyerah kalah.

Ketika ditemubual selepas pertarungan, Ev memberi satu ucapan yang cukup hebat, sehebat aksinya.

“Saya mewakili hashtag #HigherPurpose, banyak yang sedang berlaku di dunia ini. Saya mengambil peluang ini, di atas platform yang disediakan untuk mengajak orang ramai sama-sama mengubah dan melakukan sesuatu”.

Kemenangan ini juga mengekalkan rekod bersih 10 kemenangan tanpa kekalahan di Malaysia.

 

4) PETROSYAN BERJAYA BALAS DENDAM

Pada tahun 2017, aksi pertarungan Giorgio Petrosyan menentang Phetmorakot Petchyindee Academy berpihak kepada Petchyindee ekoran kesilapan Petrosyan yang melakukan aksi tidak dibenarkan semasa bertinju.

Dua tahun kemudian di Axiata Arena, Petrosyan berjaya membalas dendam kekalahan tersebut. Jaguh kickboxing Itali itu sangat agresif dalam gelanggang gelanggang berbanding lawannya itu. Keputusan sebulan suara juri sememangnya tidak disangkal lagi dan ia membawa Petrosyan ke separuh akhir siri super kickboxing featherweight, bertemu dengan seorang lagi jaguh Thailand, Jo Nattawut.

 

5) SHADOWCAT TERUS CEMERLANG DI GELANGGAMG SENDIRI

Bintang MMA wanita nombor satu negara, Jihin Radzuan tidak berdepan masalah besar untuk memenangi pertarungan ketiganya di Kuala Lumpur.

Bertemu Jomary Torres dari Filipina, Jihin menguasai pertarungan dari saat pertama lagi sebelum berjaya menjatuhkan lawannya dan membuat beberapa gerakan kuncian.

Torres bagaimanapun agak liat dan cuba melepaskan diri dari kuncian tersebut. Bagaimanapun pada penghujung pusingan pertama, Torres tidak lagi mampu bertahan. Kuncian deep triangle choke membuatkan bibir Torres menjadi biru sebelum dia menyerah kalah.