Connect with:




Seseorang pengurus pasukan akan memastikan pasukan di bawah kendaliannya bermain dengan baik untuk keputusan yang positif. Namun, perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang pengurus. Di sini kami senaraikan 5 pengurus yang masih mengendalikan sesebuah kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) 18/19 dalam tempoh yang agak panjang sehingga ke hari ini.

 

Eddie Howe (AFC Bournemouth) (2012 – sekarang)

Eddie Howe mula membimbing AFC Bournemouth pada tahun 2008, tetapi pada tahun 2011 dia telah mengikat kontrak bersama Burnley selama tiga tahun setengah. Di atas masalah peribadi, dia terpaksa meninggalkan Burnley pada tahun berikutnya dan kembali menyertai AFC Bournemouth sehingga sekarang. Sepanjang melatih AFC Bournemouth, Howe telah memenangi tiga kali Pengurus Bulanan Terbaik Liga Perdana Inggeris pada Mac 2017, January 2018 dan Oktober 2018. Untuk pasukan, Howe masih mengekalkan AFC Bournemouth di dalam kancah EPL sehingga kini.

 

Sean Dyche (Burnley) (2012 – sekarang)

Sean Dyche mula melatih pasukan pada tahun 2011. Pasukan pertama yang dia kendalikan adalah Watford pada tahun 2011. Selepas setahun, dia mula berpindah dan menjadi pengurus Burnley pada 30 Oktober 2012 sehingga sekarang. Pencapaian Dyche paling tinggi yang pernah dicapai adalah layak ke play-off Liga Europa. Pencapaian individu Dyche pula sepanjang menjadi pengurus Burnley adalah menang Pengurus Bulanan Terbaik Liga Perdana Inggeris pada Mac 2018. Kedudukan Burnley sekarang masih belum selamat selepas berada di kedudukan ke-17 liga dan hanya berbaki enam perlawanan.

Mauricio Pochettino (Tottenham Hotspur) (2014 – sekarang)

Mauricio Pochettino mula membimbing Tottenham Hotspur pada Mei 2014 dengan kontrak lima tahun. Pencapaian terbaik yang pernah dicapai Pochettino bersama Spurs adalah naib juara Piala Liga 14/15. Spurs adalah satu pasukan elit sekarang dan sering menjadi pencabar kejuaraan. Dalam lima tahun kebelakangan ini, Spurs telah dikategorikan sebagai pasukan Top 6. Pencapaian individu Pochettino sepanjang menjadi pengurus Spurs adalah memenangi empat kali Pengurus Bulanan Terbaik bagi bulan Oktober 2013, September 2015, Februari 2016 dan April 2017. Kini Spurs mengejar empat teratas untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara untuk musim depan.

 

 

Chris Hughton (Brighton & Hove Albion) (2014 – sekarang)

Chris Hughton dilantik sebagai pengurus Brighton & Hove Albion pada 31 Disember 2014. Pada musim 16/17, Hughton berjaya membawa Brighton ke Liga Perdana Inggeris dan berjaya mengekalkan kedudukan mereka di dalam liga itu. Walaupun kedudukan Brighton tidak terlalu baik jika dibandingkan dengan pasukan lain, Hughton berjaya mengelak daripada tersingkir. Kini, Brighton berada di kedudukan ke-15 dan masih belum selamat kerana Cardiff, Burnley, Southampton dan Fulham masih mempunyai peluang untuk memintas daripada tersingkir musim ini. Pencapaian terbaik kelab di bawah bimbingan Hughton adalah memenangi tempat kedua dalam Liga Kejuaraan Inggeris (EFL) yang membolehkan mereka ke EPL. Pencapaian individu Hughton bersama Brighton adalah memenangi Pengurus Bulanan Terbaik bagi bulan Februari 2018.

Jurgen Klopp (Liverpool) (2015-sekarang)

Jurgen Klopp adalah seorang pengurus yang lama yang masih mengendalikan kelab di Liga Perdana Inggeris. Mula membimbing Liverpool pada Oktober 2015 dengan kontrak selama tiga tahun bagi menggantikan Brendan Rodgers. Sepanjang membimbing Liverpool, Klopp telah membawa Liverpool menjadi naib juara Piala Carabao pada musim 15/16, naib juara Liga Europa 15/16 dan naib juara Liga Juara-Juara 17/18. Prestasi Liverpool dilihat melonjak sejak dibawah kendalian Klopp tetapi masih buntu untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Namun, peluang itu dilihat cerah selepas berada di puncak liga yang berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan. Klopp telah memenangi Pengurus Bulanan Terbaik untuk bulan September 2016 dan Disember 2018 dalam aksi EPL.

Foto : Sportskeeda