Connect with:




Walaupun perlumbaan Formula Satu (F1) baru sahaja masuk ke perlumbaan kedua, namun sudah nampak penguasaan daripada beberapa orang pemandu yang mampu meraih kejuaraan pada tahun ini. Di sini kami senaraikan lima pemandu yang mempunyai peluang untuk menjuarai F1.

 

Lewis Hamilton

Juara dunia lima kali ini sudah semestinya menjadi pilihan ramai untuk menguasai arena sukan permotoran ini. Lewis Hamilton memang tidak asing lagi dengan pemanduan yang pantas dan cekap. Pada tahun lalu, Hamilton telah memenangi 11 daripada 21 perlumbaan dengan mengumpul 408 mata meninggalkan pesaing terdekat, Sebastian Vettel yang mengumpul 320 mata. Untuk tahun 2019, Hamilton berada di kedudukan kedua keseluruhan, satu mata di belakang rakan sepasukan Valtteri Bottas yang menerima mata bonus untuk pusingan terpantas di Grand Prix Australia.

 

Valtteri Bottas

Mula memasuki sukan permotoran F1 pada Grand Prix Australia pada tahun 2013, Valtteri Bottas mula mencipta nama sebagai pemandu F1 yang berpotensi memberi cabaran sengit kepada pelumba-pelumba lain. Selepas empat tahun di dalam F1, Bottas berjaya memenangi perlumbaan Grand Prix Russia pada tahun 2017. Selepas daripada itu, Bottas berjaya memenangi empat perlumbaan termasuk pada tahun ini di Grand Prix Australia iaitu perlumbaan pertama pada tahun 2019. Kini, Bottas berada di kedudukan pertama keseluruhan dengan 44 mata, satu mata di hadapan rakan sepasukan yang juga juara dunia lima kali, Lewis Hamilton.

 

Charles Leclerc

Mungkin jentera adalah salah satu punca pemandu berusia 21 tahun ini tidak beraksi baik pada tahun lepas. Charles Leclerc yang memandu jentera Alfa Romeo Sauber hanya berada di kedudukan ke-13 dengan 39 mata. Namun, pada tahun ini, Leclerc yang memandu Ferrari dilihat bakal memberi saingan kepada jentera Mercedes yang dilihat menguasai untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Leclerc hampir memenangi perlumbaan pertamanya di Grand Prix Bahrain apabila bermula di petak pertama, namun kerosakkan enjin pada 10 pusingan terakhir menyebabkan dia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Dalam senarai pemandu keseluruhan, Leclerc berada di kedudukan keempat dengan 26 mata.

 

Max Verstappen

Berada di kedudukan 10 teratas dalam tiga tahun terakhir bagi kedudukan keseluruhan pelumba, Max Verstappen dilihat mampu memberi saingan kepada pelumba-pelumba lain walaupun di usia muda. Verstappen dilihat lebih selesa dengan jentera Red Bull Racing setelah mencatat lima kemenangan bersama jentera itu sepanjang tiga tahun bersama. Pada tahun lalu, Verstappen berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 249 mata. Pada tahun ini, setelah dua perlumbaan Verstappen berada di kedudukan ketiga keseluruhan satu mata di hadapan Charles Leclerc dengan 27 mata.

 

Sebastian Vettel

Juara dunia empat kali ini sudah tidak asing lagi kepada peminat sukan permotoran F1. Sebastian Vettel adalah satu nama besar di dalam F1 selepas merangkul kemenangan pertamanya bersama Toro Rosso di Grand Prix Itali 2008. Selepas daripada kemenangannya itu, Vettel dilihat mendominasi podium dan berjaya menjadi juara dunia empat kali berturut-turut dari tahun 2010 hingga 2013 dengan jentera Red Bull. Dalam tempoh dua tahun lalu, Vettel berada di kedudukan kedua di belakang Lewis Hamilton. Kini Vettel berada di kedudukan kelima keseluruhan pemandu selepas menamatkan saingan di tempat ke-4 di Grand Prix Australia dan tempat ke-5 di Grand Prix Bahrain.

Foto : Sportskeeda