Connect with:




Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah salah satu liga yang melahirkan pemain-pemain muda yang berpotensi untuk menjadi pemain bintang satu masa nanti. Walaupun ada sesetengah daripada mereka tidak mendapat minit permainan yang setaraf dengan pemain-pemain senior, mereka tetap memberi yang terbaik apabila diturunkan oleh pengurus kelab. Kami di sini akan menyenaraikan lima pemain muda EPL yang mampu menjadi pemain bintang.

Callum Hudson-Odoi (Chelsea)

Mula bermain bersama Chelsea bagi pasukan bawah 18 tahun dan menjaringkan lapan gol sepanjang 25 penampilan, Callum Hudson-Odoi mula diserap masuk ke pasukan utama Chelsea. Walaupun tidak mendapat tempat sebagai kesebelasan utama, Hudson-Odoi tetap memberikan persembahan yang terbaik. Pada musim 18/19 di bawah kendalian Maurizio Sarri, Hudson-Odoi diturunkan sebagai pemain utama semasa aksi Piala Perisai Komuniti, tetapi tewas 2-0 kepada Manchester City. Hudson berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama skuad Chelsea apabila diturunkan menentang PAOK FC dalam saingan Liga Europa. Kini, Hudson-Odoi berjaya menjaringkan lima gol dan satu bantuan jaringan sepanjang 20 penampilan bersama Chelsea untuk musim 18/19. Hudson-Odoi juga menjadi pemain paling muda yang beraksi untuk skuad England untuk kelayakan Euro 2020.

Trent Alexander-Arnold (Liverpool)

Siapa yang tidak mengenali pertahanan kanan yang beraksi cemerlang bersama Liverpool ini, pastinya tidak mengikuti perkembangan bola sepak dunia. Trent Alexander-Arnold pemain yang berusia 20 tahun menjadi salah satu ancaman kepada pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris kerana kelajuan larian overlapping serta hantaran yang berbahaya ke dalam kotak penalti. Sepanjang musim 18/19, Arnold telah menjaringkan satu gol dan membuat enam bantuan gol untuk Liverpool sepanjang 30 penampilan. Arnold juga menjadi pemain termuda England yang beraksi di suku akhir Liga Juara-Juara 17/18. Arnold juga berada dalam skuad utama England di bawah kendalian Gareth Southgate.

Phil Foden (Manchester City)

Berada di bawah kendalian Pep Guardiola, Phil Foden mula membuat debut dalam skuad utama pada musim 17/18 dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Feyenoord. Untuk aksi Liga Perdana Inggeris, Foden membuat debut pada aksi menentang Tottenham Hotspur yang berkesudahan Manchester City menang 4-1. Foden menjaringkan gol pertamanya bersama City di Stadium Etihad dengan kemenangan 7-0 ke atas Rotherham United. Foden juga menjaringkan gol pertamanya dalam aksi Liga Juara-Juara 18/19 pada aksi timbal balik menentang Schalke 04 yang berkesudahan 10-2 melalui agregat. Jaringannya itu juga menjadikan Foden pemain termuda England yang menjaringkan gol di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Dwight McNeil (Burnley)

Ramai yang tidak mengenali pemain yang berumur 19 tahun ini, namun namanya kini menjadi sebutan selepas aksi memukau menentang Wolverhampton Wanderers dalam kancah Liga Perdana Inggeris baru-baru ini. Dwight McNeil memulakan kariernya di Manchester United sebelum menyertai Akademi Burnley pada tahun 2014. Pada Mei 2018, McNeil membuat debut pertamanya bersama skuad utama Burnley selepas masuk menggantikan Aaron Lennon. Kemasukkannya gagal membantu Burnley selepas tewas 2-1 kepada AFC Bournemouth. McNeil berjaya menjaringkan gol pertamanya semasa menentang West Ham dengan kemenangan 2-0 pada Disember 2018. Untuk musim 18/19, McNeil telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan jaringan hasil daripada 18 penampilan. McNeil kini mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Burnley selepas mempamerkan aksi yang baik di bawah kendalian Sean Dyche.

Ryan Sessegnon (Fulham)

Mula berlatih bersama skuad utama Fulham semasa umur 15 tahun, Ryan Sessegnon mula dipanggil oleh jurulatih Fulham, Slavisa Jokanovic untuk perlawanan pra-musim. Dia menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan persahabatan menentang Brighton & Hove Albion. Sessegnon mula membuat debut pertamanya dengan skuad utama Fulham dalam Piala Liga pada 9 Ogos dan membuat debut dalam Liga Kejuaraan tujuh hari kemudian. Sessegnon membuat penampilan pertamanya dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada 11 Ogos 2018 dan menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Cardiff City. Kini, Sessegnon yang berumur 18 tahun telah menjaringkan tiga gol dan membuat dua bantuan jaringan sepanjang 31 penampilannya bersama Fulham musim ini.

Foto : Sportskeeda