Connect with:




Pasti semua sudah sedia maklum tentang kekalahan 0-1 skuad Harimau Malaya kepada Singapura. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas jaringan Faris Ramli pada minit ke-82 perlawanan mengecewakan skuad Harimau Malaya. Di sini kami cuba berikan lima faktor yang menyebabkan kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Singapura berdasarkan pemerhatian kami.

1) Kehadiran penyokong yang mengecewakan dan tiada kelibat Ultras Malaya

Beraksi dalam stadium yang hampir kosong, sedikit menjejaskan prestasi skuad Harimau Malaya. Kehadiran penonton di Stadium Bukit Jalil hanya sekitar 3,000 hingga 4,000 sahaja sebaliknya venue tersebut mampu menampung 90,000 penonton dalam satu-satu masa. Selain itu, kelibat Ultras Malaya yang tidak kelihatan akibat memboikot Piala AirMarine 2019 turut menyuramkan suasana di stadium.

2) Barisan penyerang tumpul

Aksi Zaquan Adha dan Norshahrul Idlan Talaha tidak seperti yang diharapkan apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk mencipta jaringan. Aksi Zaquan dan Norshahrul tidak seperti bermain di AFF Suzuki lalu yang cemerlang dengan percubaan dan jaringan. Mohamadou Sumareh pula dilihat tidak dapat mengawal tempoh perlawanan kerana dilihat sering membuat larian solo dan mengelecek dua tiga pemain pertahanan Singapura tetapi tidak berjaya melepasi mereka.

3) Mudah hilang bola di bahagian tengah padang

Kita sedia maklum, kapten Singapura, Hariss Harun adalah pemain yang mempunyai potensi untuk mengawal di bahagian tengah. Begitulah tugasnya di Johor Darul Takzim yang juga memakai lilitan kapten. Skuad Harimau Malaya mudah hilang bola di bahagian tengah padang menyebabkan mereka sering terkena serangan balas daripada Singapura. Tan Cheng Hoe melihat keadaan ini berlarutan sepanjang separuh masa pertama dan mengeluarkan pemain penyerang dan memasukkan pemain tengah untuk mengimbangi rentak permainan Hariss di bahagian tengah.

4) Pemain gagal bermain dengan baik

Boleh dikatakan semua pemain gagal menunjukkan permainan yang baik kecuali Khairul Fahmi di penjaga gol. Apek antara pemain yang perlu diberi pujian kerana dapat menghalang beberapa percubaan berbahaya daripada Singapura. Bagi lain-lain pemain, kami rasakan semuanya serba tidak menjadi dalam perlawanan ini. Jurulatih Harimau Malaya juga tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

5) Ketiadaan beberapa tonggak yang menyertai skuad kebangsaan bagi kelayakan Kejuaraan AFC B-23

Menurut Tan Cheng Hoe, ketiadaan beberapa pemain yang membantu di AFF Suzuki seperti Adam Norazlin, Safawi Rashid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, dan Syahmi Safari sedikit menjejaskan prestasi skuad Harimau Malaya. Tetapi perkara itu bukan alasan untuk mereka gagal meraih kemenangan. Mereka yang telah terpilih perlu menunjukkan potensi yang mereka ada untuk membantu skuad Harimau Malaya.

Malaysia akan menentang Afghanistan untuk penentuan tempat ke-3/4, manakala Singapura akan menentang Oman untuk penentuan juara.

 

Foto : Seiran / Dunia Sukan