Connect with:




Awal pagi tadi, penyokong Liverpool bersorak gembira apabila pasukan mereka melakukan satu keajaiban apabila membuat comeback menewaskan juara La Liga, Barcelona dengan keputusan 4-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Anfield. Dalam aksi separuh akhir pertama, skuad kendalian Jurgen Klopp tewas 3-0 di Nou Camp. Comeback yang dilakukan Liverpool itu sekaligus membawa mereka ke pentas final di Madrid, Sepanyol.

Namun, bukan hanya Liverpool sahaja yang pernah membuat comeback terbaik dalam aksi Liga Juara-Juara. Mari kita lihat 5 lagi comeback terbaik yang pernah dilakukan di kancah Liga Juara-Juara.

 

Deportivo La Coruna vs AC Milan (2003/2004) – Suku Akhir

AC Milan yang dibintangi oleh pemain-pemain terkenal seperti Dida, Andrea Pirlo, Kaka, Cafu, Andriy Shevchenko, Paolo Maldini, Gennaro Gattuso, Fillipo Izanghi dan Clarence Seedorf gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim 2002/2003 apabila disingkirkan oleh kelab daripada Sepanyol, Deportivo La Coruna di peringkat suku akhir.

Dalam suku akhir pertama, AC Milan berjaya menewaskan Deportivo dengan jaringan 4-1 di laman sendiri hasil dua jaringan Kaka dan satu masing-masing daripada Pirlo dan Shevchenko. Jaringan tunggal Deportivo dijaringkan oleh Walter Pandiani.

Kemenangan itu membuatkan slot separuh akhir hampir pasti menjadi milik AC Milan, namun Deportivo yang bermain di laman sendiri untuk aksi separuh akhir kedua melakukan kejutan kepada penyandang juara apabila membuat comeback dengan kemenangan 4-0 hasil jaringan Pandiani, Juan Carlos Valeron, Albert Luque dan Fran. Kemenangan itu mengesahkan slot separuh akhir milik Deportivo selepas menang 5-4 menerusi agregat.

 

AS Monaco vs Real Madrid (2003/2004) – Suku Akhir

Bukan satu comeback yang berlaku di Liga Juara-Juara musim 2003/2004, comeback juga dilakukan oleh AS Monaco dalam aksi yang suku akhir dengan menyingkirkan cabaran Real Madrid. Seperti AC Milan, Real Madrid yang mempunyai pemain-pemain bintang seperti David Beckham, Luis Figo, Zinedine Zidane, Ronaldo, Iker Casillas dan Raul Gonzalez turut gagal layak ke separuh akhir.

Aksi suku akhir pertama di Madrid menyaksikan skuad kendalian Carloz Queiroz menang 4-2 hasil jaringan Ivan Helguera, Zidane, Ronaldo dan Figo sementara gol AS Monaco dijaringkan oleh Fernando Morientes dan Sebastien Squillaci.

Pada aksi suku akhir kedua di Monaco, Real Madrid dihadapan hasil jaringan Raul. Jaringan itu seolah-olah menyaksikan slot separuh akhir menjadi milik mereka tetapi kebangkitan dan comeback yang dilakukan oleh AS Monaco menafikan semua itu selepas AS Monaco bangkit dengan tiga gol hasil dua daripada Ludovic Guily dan satu daripada Morientes. Keputusan akhir menyaksikan AS Monaco layak ke separuh akhir hasil jaringan di tempat lawan selepas kedudukan terikat 5-5.

 

Liverpool vs AC Milan (2004/2005) – Akhir

Comeback bukan hanya boleh berlaku di peringkat suku atau separuh akhir malah di peringkat akhir. Itu pernah dilakukan oleh Liverpool pada musim 2004/2005 seterusnya merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara. Skuad kendalian Rafael Benitez itu walau bagaimanapun ketinggalan 3-0 kepada AC Milan pada separuh masa pertama hasil jaringan Paolo Maldini pada minit pertama perlawanan sebelum Henan Crespo meledak dua lagi jaringan pada minit ke-39 dan 44.

Liverpool kembali melakukan comeback selepas bermula separuh masa kedua apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk menghasilkan tiga gol. Comeback Liverpool bermula dengan jaringan kapten, Steven Gerrard pada minit ke 54 sebelum Vladimir Smicer menyumbat gol kedua, dua minit berselang. Liverpool berjaya menyamakan kedudukan selepas Xabi Alonso mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke 61.

Perlawanan 90 minit tamat dengan keputusan 3-3 dan diteruskan ke masa tambahan, tetapi masih belum ada tambahan jaringan. Perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti. Liverpool menang menerusi sepakan penalti 3-2 selepas Jerzy Dudek berjaya menghalang tiga sepakan daripada Serginho, Andrea Pirlo dan Andriy Shevchenko dan dinobatkan sebagai juara.

 

Barcelona vs Paris Saint Germain (2016/2017) – Pusingan 16

Barcelona turut pernah melakukan comeback dalam Liga Juara-Juara walaupun awal pagi tadi mereka dikejutkan dengan comeback oleh Liverpool. Barcelona melakukan comeback untuk menyingkirkan pasukan gergasi Perancis, Paris Saint Germain di peringkat 16 pasukan terbaik. Ia satu pencapaian terbaik untuk sesebuah kelab Eropah apabila dapat membuat comeback walaupun ketinggalan dengan empat jaringan.

Di laman sendiri, Barcelona dikejutkan dengan prestasi yang mengagumkan oleh PSG apabila mereka ditewaskan dengan jaringan 4-0 hasil dua jaringan Angel di Maria, satu masing-masing daripada Edinson Cavani dan Julian Draxler.

Pada mulanya, Barcelona dilihat sudah tersingkir daripada saingan, namun ianya belum berakhir buat pasukan Catalan itu selepas membuat comeback untuk menyingkirkan PSG. Perlawanan di Nou Camp bermula dengan agak baik untuk Barcelona apabila Luis Suarez menjaringkan gol pertama pada minit ketiga untuk merapatkan jurang jaringan. Sebelum tamat separuh masa pertama, Barcelona mendapat gol kedua hasil jaringan sendiri pemain pertahanan PSG, Layvin Kurzawa.

Pada separuh masa kedua, Barcelona dihadiahkan sepakan penalti dan disempurnakan oleh Lionel Messi. Namun, kebangkitan mereka sedikit terjejas selepas Edinson Cavani berjaya menjaringkan gol untuk PSG. Gol itu juga menyebabkan Barcelona terpaksa mencari tiga jaringan untuk menang.

Selepas bertungkus-lumus, akhirnya jaringan keempat Barcelona diperolehi hasil sentuhan Neymar. Dalam masa tambahan, Neymar berjaya menghasilkan satu lagi gol untuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu. Gol itu belum cukup untuk menghalang PSG kerana peraturan jaringan di tempat lawan.

Satu minit sebelum tamat perlawanan, Sergio Roberto berjaya menghasilkan gol kemenangan dan gol keenam Barcelona dalam perlawanan itu. Gol itu seterusnya melengkapkan comeback Barcelona yang menyemarakkan sokongan daripada puluhan ribu penonton yang hadir. Keputusan penuh perlawanan menyaksikan Barcelona layak ke suku akhir dengan jaringan 6-5 berdasarkan agregat.

 

AS Roma vs Barcelona (2017/2018) – Suku Akhir

Nasib Barcelona awal pagi tadi berulang kembali selepas musim 2017/2018 di peringkat suku akhir yang mana mereka disingkirkan oleh AS Roma. Dalam perlawanan itu, AS Roma membuat comeback di Rom selepas tewas di Nou Camp.

Pada aksi suku akhir pertama, Barcelona berjaya menewaskan AS Roma dengan jaringan 4-1 hasil jaringan Gerard Pique, Luis Suarez dan dua jaringan sendiri pemain AS Roma, Daniele De Rossi dan Kostas Manolas. Jaringan tunggal Roma dijaringkan penyerang mereka, Edin Dzeko.

Tewas di Nou Camp tidak mematahkan semangat anak buah Eusebio di Francesco apabila mereka kembali bangkit di Rom dengan tiga jaringan menerusi Dzeko, Manolas dan De Rossi. Ketiga-tiga mereka juga penjaring di Nou Camp namun ia berbeza di Rom apabila Manolas dan De Rossi mencetak jaringan untuk pasukan mereka dan bukan seperti di Nou Camp. Keputusan muktamad perlawanan, AS Roma menang menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 4-4.

 

Foto : Sportskeeda