Connect with:




Jumaat lalu, para peminat sukan mix martial arts (MMA) berkampung di Axiata Arena bagi menyaksikan acara siri MMA terbesar di Asia iaitu ONE Championship yang hadir ke Kuala Lumpur buat kali ketiga dengan tema ONE: MARK OF GREATNESS.

Berikut 5 perkara yang boleh disimpulkan mengenai acara pada malam tersebut.

1) AGILAN THANI AKUI SAINGAN DI KELAS WELTERWEIGHT SEMAKIN MENCABAR

Bintang MMA negara, Agilan Thani berjaya bangkit dari kekalahannya kepada Yushin Okami di Tokyo, Oktober lalu dengan menewaskan pendatang baharu dalam ONE, Dante Schiro dari Amerika Syarikat.

Ia satu pertarungan yang cukup sengit dengan kedua-dua mereka saling bertukar posisi ketika beraksi secara ground. Tumbukan padu yang tepat mengenai muka Agilan juga menyebabkan luka yang agak besar di bahagian mata anak kelahiran Sentul itu.

Bagaimanapun Agilan menampilkan aksi menyakinkan dari segi serangan dan bertahan sementara Schiro pula kelihatan menerima kesukaran pada pusingan ketiga. Kemenangan tipis yang dianugerahkan juri ternyata melegakan Agilan yang mahu menamatkan 2019 dengan noktah positif.

Agilan dalam sidang media mengakui kelasnya iaitu welterweight kini semakin sukar dengan adanya Schiro serta beberapa peserta lain. Justeru, dia mahu berehat secukupnya sebelum mensasarkan bulan April tahun depan untuk kembali bertarung di dalam gelanggang.

 

2) KEKALAHAN JIHIN SANGAT MENGEJUTKAN NAMUN ‘SHADOWCAT’ TERIMA KEPUTUSAN DENGAN TERBUKA

Ketika keputusan pertemuan Jihin Radzuan menentang Denice Zamboanga diumumkan, seluruh Axiata Arena terkejut. Mana tidaknya, Jihin yang dilihat menguasai pertarungan pada 2 pusingan terakhir tidak diumumkan sebagai pemenang.

Sebaliknya, Zamboanga yang berasal dari Filipina muncul pemenang malah mendapat pengiktirafan dari ketiga-tiga juri. Jelas terpancar riak wajah kecewa Jihin yang gagal meneruskan rekod bersihnya di Kuala Lumpur.

Berdasarkan pemerhatian, Jihin lebih banyak menyerang sementara lawannya itu menggunakan pendekatan untuk bertarung di bahagian tepi gelanggang. Situasi itu jelas sedikit membuatkan Jihin tertekan.

Bagaimanapun, srikandi MMA Malaysia dari Johor ini menerima keputusan tersebut dengan terbuka sambil menganggap ia sebahagian daripada asam garam dunia MMA.

 

3) KECEDERAAN KAKI HALANG MUHAMMAD AIMAN UNTUK BERI AKSI TERBAIK

Sebelum Jihin dan Agilan beraksi, Muhammad Aiman terlebih dahulu turun ke gelanggang. Rekod positif yang dicatatkan juara MIMMA ini dengan lawan dari China membuatkan ramai beranggapan Aiman akan memulakan kempen Malaysia pada malam itu dengan cemerlang.

Bagaimanapun Chen Rui menafikan telahan tersebut. Aiman jelas berdepan kesukaran dalam pertarungan secara berdiri dimana Chen Rui berjaya menunjukkan skil bertinjunya yang lebih padu.

Kecederaan di bahagian kaki yang ditimpa pada pusingan pertama juga membuatkan Aiman tidak dapat beraksi baik sehingga tamat pertarungan. The Jungle Cat lebih banyak bertahan sementara Chen Rui sememangnya sangat dominan dalam pertarungan tersebut.

Aiman menganggap ia pengajaran berguna buat dirinya dan akan memperbaharui lagi skil pertarungannya pada masa akan datang.

 

4) SAM-A GAIYANGHADAO CIPTA SEJARAH TERSENDIRI

Acara kemuncak malam tersebut ialah pertarungan antara Sam-A Gaiyanghadao menentang Wang Junguang dalam merebut tali pinggang kejuaraan Strawweight Kickboxing Dunia.

Gaiyanghadao jelas menguasai pertarungan dengan tumbukan dan sepakan padu hinggap ke badan lawannya itu.

Kemenangan tersebut menyaksikan Gaiyanghadao mencipta sejarah menjadi juara kickboxing strawweight ONE dunia pertama – takhta kedua buat dirinya dalam siri ONE ini selepas pernah memenangi tali pinggang kejuaraan ONE Muay Thai Flyweight.