Connect with:




Perlawanan suku akhir kedua antara Manchester City dan Tottenham Hotspur di Stadium Etihad berakhir dengan jaringan 4-3 dan secara agregat 4-4. Spurs layak ke separuh akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan. Mari kita lihat 4 perkara menarik yang menghiasi perlawanan antara City dan Spurs awal pagi tadi.

 

5 gol dalam 21 minit

Aksi awal pagi tadi sangat dramatik apabila dalam tempoh masa 21 minit permainan, lima gol telah dihasilkan dari kedua-dua pasukan. Seawal wisel permulaan ditiupkan, kedua-dua pasukan sudah mula mengatur permainan. Pada minit keempat, City berada di depan hasil jaringan Raheem Sterling. Jaringan itu tidak bertahan lama selepas Son Heung-Min kembali menyamakan kedudukan untuk Spurs tiga minit berselang.

Son terus mempamerkan aksi bertenaga dan menggunakan kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan City untuk menjaringkan gol kedua peribadinya dan pasukan pada minit ke-10. Selang seminit, City kembali menyamakan kedudukan selepas Bernando Silva bijak memperdayakan pertahanan dan penjaga gol Spurs. Pada minit ke-21, Sterling sekali lagi meledak selepas menyudahkan hantaran Kevin de Bruyne untuk meletakkan City kembali dihadapan.

Pada separuh masa kedua, hanya dua gol dapat dihasilkan. Satu daripada City menerusi Sergio Aguero dan satu daripada Spurs menerusi Fernando Llorente.

 

Son & Sterling pamer aksi mengagumkan

Dalam aksi awal pagi tadi, dua pemain dilihat berada dalam prestasi yang baik. Kedua-dua pemain itu adalah Son Heung-Min dan Raheem Sterling. Kedua-dua pemain ini menjaringkan dua gol dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Etihad.

Son yang diberi tugasan untuk menggantikan Harry Kane berjaya melakukan tugasnya dengan baik dan hasilnya berjaya menewaskan Ederson dua kali di gawang City. Prestasi Sterling tidak perlu lagi dipertikaikan, dalam aksi Liga Perdana Inggeris juga, Sterling telah beraksi baik dan membantu City menjaringkan gol. Dalam aksi pagi ini, Sterling sekali lagi membantu City dengan dua gol tetapi gagal membawa City ke separuh akhir.

 

VAR hampakan City

Manchester City ternyata kecewa dengan keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang tidak memihak kepada mereka dalam aksi di Etihad awal pagi tadi. Dua keputusan VAR terpaksa dibuat dalam perlawanan itu apabila mendapat bantahan daripada pemain kedua-dua pasukan.

Pertama, VAR diminta oleh pemain-pemain City yang membantah gol Fernando Llorente yang dikatakan terkena tangan. Walaupun pengadil melihat VAR dengan beberapa kali, gol itu tetap diberikan kepada Spurs kerana dilihat bola mengenai paha pemain itu.

Kedua, pemain Spurs pula membuat bantahan kepada pengadil selepas Sterling berjaya menjaringkan gol ketiga buat dirinya dan gol kemenangan kepada City pada minit ke-92 permainan. Namun, gol itu dibatalkan selepas pengadil melihat VAR di mana Sergio Aguero berada dalam kedudukan offsaid sewaktu menerima bola daripada Bernardo Silva. Keadaan itu nyata menghampakan Guardiola, pemain-pemain City dan penyokong di Stadium Etihad.

 

Spurs cipta sejarah

Tottenham Hotspur mencipta sejarah apabila berjaya kali pertama ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pencapaian terbaik mereka hanya di peringkat suku akhir. Spurs layak melalui peraturan jaringan di tempat lawan setelah terikat 4-4 secara agregat dengan Manchester City.

Spurs akan bertemu Ajax di separuh akhir yang berjaya mengejutkan Juventus di peringkat suku akhir. Hujung minggu ini, Spurs sekali lagi akan bertandang ke Stadium Etihad untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris untuk mencari slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

 

Foto : Manchester City / Tottenham Hotspur Twitter