Connect with:




Walaupun perlumbaan MotoGP baru masuk ke pusingan ketiga, namun sudah nampak dominasi oleh beberapa pelumba yang berusaha dari pusingan awal untuk mendahului kedudukan keseluruhan pelumba. Di sini kami senaraikan empat pelumba yang dijangka bakal menjuarai MotoGP 2019.

 

Marc Marquez

Juara dunia lima kali ini dilihat salah satu calon yang bakal mengekalkan kejuaraannya untuk empat tahun berturut-turut setelah melakar kejayaan pada 2016, 2017 dan 2018. Mula aktif dalam perlumbaan MotoGP pada tahun 2013, Marquez telah memenangi 45 perlumbaan sepanjang kariernya. Untuk tahun ini, Marquez dilihat bermula agak perlahan apabila berada di kedudukan keempat keseluruhan pelumba dengan 45 mata setelah memenangi perlumbaan di GP Argentina, tempat kedua di GP Qatar dan gagal menamatkan perlumbaan pada GP Amerika. Walau bagaimanapun, Marquez tetap menjadi pilihan utama untuk menjuarai MotoGP 2019.

 

Valentino Rossi

Siapa tidak mengenali pelumba ini, walaupun sudah berusia 40 tahun, namun Rossi masih bergiat aktif dalam MotoGP. Sudah menjadi juara dunia sebanyak tujuh kali, Rossi kini menjadi idola kepada pelumba-pelumba muda yang mula menunjukkan peningkatan dalam tunggangan mereka. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, Rossi dilihat sebagai pesaing yang hebat walaupun kali terakhir menjadi juara dunia pada tahun 2009. Mungkin faktor usia menyebabkan Rossi tidak dapat memberikan fokus yang baik untuk setiap perlumbaan. Pada tahun 2019, Rossi kini berada di kedudukan kedua keseluruhan di belakang pendahulu, Andrea Dovizioso dengan perbezaan tiga mata. Untuk tiga perlumbaan musim ini juga, Rossi masih mengekalkan kedudukan di posisi Top 5. Ia satu perkembangan yang baik untuk Rossi merampas kembali gelaran juara dunia untuk tahun ini.

 

Andrea Dovizioso

Pelumba MotoGP ini mula meningkat naik prestasinya dan menjadi pesaing utama untuk merebut gelaran kejuaraan. Setelah dua tahun berada di posisi kedua keseluruhan, mungkin tahun ini menjadi milik Dovizioso. Walaupun tidak pernah menjadi juara dunia, Dovizioso pernah memenangi 13 perlumbaan sepanjang bermulanya kariernya bersama MotoGP pada 2008. Pencapaian terbaiknya adalah pada tahun lepas selepas berada di kedudukan kedua di belakang Marc Marquez dengan 245 mata. Kini, Dovizioso mendahului senarai pelumba setelah tiga perlumbaan selepas mencatatkan satu kemenangan di GP Qatar, tempat ketiga di GP Argentina dan tempat kelima di GP Amerika. Pungutan matanya sekarang adalah 54. Peluangnya untuk mengekalkan kedudukan di posisi pertama dilihat cerah jika Dovizioso mampu memenangi beberapa perlumbaan selepas ini dan tidak mengalami kemalangan untuk mendapatkan pungutan mata.

 

Alex Rins

Pelumba muda ini telah menunjukkan prestasi yang baik sejak bergabung bersama MotoGP pada tahun 2017. Baru berusia 24 tahun, Rins telah berjaya memberi saingan sengit kepada pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman. Walaupun baru memulakan perlumbaan sebanyak 32 kali, Rins telah berjaya memenangi satu perlumbaan dan telah menaiki podium sebanyak enam kali. Pencapaian terbaik Rins adalah berada di kedudukan kelima keseluruhan pelumba dengan kutipan mata 169. Untuk tahun ini, Rins seperti biasa bakal menjadi saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain dalam mengejar kejuaraan dunia MotoGP. Rins kini berada di kedudukan ketiga dengan 49 mata hasil satu kemenangan di GP Amerika, tempat keempat GP Qatar dan tempat kelima GP Argentina.

Foto : MotoGP