Connect with:




Sejak beberapa tahun kebelakangan ini permainan digital atau industri permainan video semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan belia. Antara permainan yang menjadi fenomena sekarang seperti PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), Mobile Legend: Bang Bang, FIFA 19, Fortnite dan beberapa lagi sehinggakan mempunyai pertandingan di peringkat dunia.

Sebelum ini ramai yang bermula sebagai ‘kaki game’, kini menjadi pemain e-sukan professional dengan mewakili negara dalam pelbagai acara permainan video. Ada yang mampu menang wang tunai sehingga puluhan ribu ringgit dan ada yang mampu jana wang dari membuat hanya penstriman video di Facebook. Malah dengan hanya bermain permainan video ia mampu menjadi sebagai satu pekerjaan terhadap seseorang dan pendapatan tunggal mereka.

Meskipun kewujudan industri permainan video semakin berskala besar, industri permainan video bersama e-sukan masih dipandang rendah dan dianggap ia sebagai membuang masa oleh sesetengah pihak di Malaysia.

Tetapi mengapa permainan video masih dipadang rendah? Walaupun ia mampu menjana kewangan seseorang itu. Mungkin ini tiga faktor yang semua orang perlu menitikberatkan terhadap industri permainan video dan e-sukan tempatan.

 

  1. Perbetulkan imej industri permainan video dan e-sukan

Sekarang ini tidak dapat dinafikan lagi bahawa industri permainan video merupakan antara salah satu industri yang membangun dengan pesat dan mampu mencecah USD$235 billion pada 2022, malah ia lebih tinggi berbanding industri filem dan muzik antarabangsa. Manakala industri e-sukan juga mampu menjana pendapatan yang agak lumayan sehingga USD$1.6 billion pada 2020.

Industri permainan video dan e-sukan sebenarnya sudah berkembang dan telah berjaya mengatasi pendapatan industri Hollywood sejak 2008 tetapi permainan video masih lagi menerima persepsi buruk oleh masyarakat tidak kira di dalam ataupun luar negara.

Bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap industri ini, kerjasama semua pembangun permainan video sangat perlu untuk menghasilkan imej permainan video dengan lebih bagus di mata masyarakat.

  1. Industri permainan video dan e-sukan mendapat sokongan daripada kerajaan

Kejayaan demi kejayaan industri permainan video dan e-sukan ini, lebih-lebih lagi telah banyak mengharumkan nama negara maka tidak hairanlah jika kerajaan menyokong industri ini. Kecemerlangan pemain-pemain dan pasukan e-sukan di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi dengan kejuaraan yang diraih oleh Geek Fam dalam menjuarai kejohanan Liga Profesional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Ketiga sebelum ini.

Geek Fam yang menjuarai kejohanan Liga Profesional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Ketiga.
Foto: MPL

Maka tidak hairanlah Malaysia melalui Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Abdul Rahman kini sedang mencuba membida Kejohanan Piala Dunia Mobile Legend untuk menjadi penganjur.

Menurut Syed Saddiq, jika penganjuran Piala Dunia tersebut akan diadakan tahun depan, pihaknya akan cuba untuk membida kejohanan itu untuk diadakan di Malaysia.

“Kami akan mencuba sebaik mungkin tetapi akan membuat semakan terlebih dahulu dengan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan e-sukan kerana mereka juga mempunyai persatuan antarabangsa. Tetapi memang kita hendak bawa kejohanan Piala Dunia ke Malaysia,” katanya.

Malah menurutnya lagi, pengajuran permainan e-sukan akan menguntungkan negara kerana dana pengajuran e-sukan akan dikeluarkan oleh sektor koporat itu sendiri dan bukan kerajaan. Selalunya mereka akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda jika menganjurkan e-sukan.

“Kita boleh lihat sebelum ini iaitu ketika pengajuran Dota Major, peminat e-sukan sanggup membeli tiket yang mahal untuk datang melihat perlawanan tersebut, maka ia akan memberikan keuntungan kepada penganjur jadi tidak hairanlah banyak sektor koporat akan mengeluarkan dana yang banyak,” jelasnya lagi.

Malah permainan video dan e-sukan juga bakal dipertandingkan di Sukan SEA 2019 di Filipina yang mempertaruhkan enam permainan iaitu Dota 2, Mobile Legends, Starcraft II, Arena of Valor (AOV), NBA 2019 dan Tekken 7. KBS optimis tiga pingat mampu diraih daripada enam acara e-sukan yang dipertandingkan menerusi Tekken 7, Starcraft dan DOTA 2 memandangkan Malaysia memiliki pemain e-sukan yang bertaraf dunia.

E-sukan yang akan dipertadingkan di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Foto: ESPORTS

  1. Mampukah pemain permainan video sara diri?

Pasti ramai yang bertanya tentang kemampuan sara diri seseorang pemain permainan video, adakah mereka mampu hanya dengan bermain permainan video? Sudah pasti pemain mampu menyara diri melalui industri permainan video dan e-sukan. Tetapi seseorang pemain haruslah serius dan anggap ia sebagai satu pekerjaan bukan hanya untuk suka-suka.

Sebagai pemain profesional dan ingin menjadi pemain profesional dalam e-sukan, seseorang itu perlu berusaha keras seperti apa jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei lakukan selama ini sebelum menjadi pemain terbaik dunia.

Setiap pemain e-sukan perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk berlatih dan memerlukan sokongan keluarga supaya mereka dapat mempamerkan aksi permainan yang terbaik dalam e-sukan ini.

Malah sebelum ini pernah dilaporkan oleh Mstar Online mengenai kisah seorang pelajar iaitu Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid yang menjadikan permainan PUBG sebagai mata pencarian tunggalnya. Abdul Azim yang berusia 20 tahun itu hanya melakukan penstriman video PUBG di Facebook dan dilaporkan beliau berjaya mendapat pendapatan sekitar empat angka dan mampu menampung diri serta kos pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang, Kelantan.

Seseorang pemain yang melakukan penstriman video di Facebook mmapu menjada pendapatan lumayan.
Foto: Man Parang

Malah beliau juga mampu membahagikan 50 peratus hasil pendapatannya itu untuk ibu bapanya. Oleh itu, dengan kejayaan mereka sudah pasti membuktikan bahawa pemain permainan video juga mampu menyara diri serta ahli keluarga.