Connect with:




Saingan Liga Super yang berlangsung semalam menyaksikan beberapa pasukan terus selesa mencatat 3 mata. JDT semakin hampir dengan kejuaraan liga selepas menang 2-0 ke atas Pahang. Perak yang dilabel ‘Raja Seri’ sebelum ini telah mula bangkit perlahan-lahan dan semalam skuad Mehmet Durakovic menang 3-1 ke atas PKNP FC sementara skuad warga kota meraih kemenangan berharga menewaskan PKNS 2-1 yang menyaksikan Indra Putra meneruskan rentak jaringannya.

Bagaimanapun, keputusan paling mengejutkan pastinya kekalahan Terengganu FC (TFC) kepada PJ City FC di Kuala Terengganu. Apa yang mengejutkan adalah Terengganu telah mendahului dengan selesa 3-0 pada babak pertama sebelum anak-anak buah K.Devan bangkit mencetak 5 gol pada babak kedua.

Kekalahan semalam telah menimbulkan kebimbangan para penyokong TFC terhadap keupayaan pengendali pasukan. Sentiasa selesa dihadapan sebelum pasukan pelawat bangkit, adakah TFC sebuah pasukan ‘bottlers’?

Ini 3 perlawanan yang membuktikan TFC sentiasa memberi harapan palsu.

 

1) TFC VS PJ CITY FC (Liga Super 2019)

SKuad kendalian Irfan Bakti membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Kipre Tchetche sebelum pemain baharu yang dibawak masuk dari Ultimate FC, Nabil Latpi menggandakan jaringan enam minit kemudian. Ashaari Samsudin seterusnya memberikan penguasaan selesa 3-0 hasil jaringannya pada minit ke-19.

Bagaimanapun malapetaka melanda tuan rumah pada babak kedua. Elizeu Batista menjaringkan gol pertama PJ City pada minit ke-48 sebelum mereka menyamakan kedudukan menerusi Pedro Henrique pada minit ke-56 dan Washington Brando seminit kemudian.

Zamri Ramli kemudian membawa PJ City di hadapan hasil jaringannya pada minit ke-77 sebelum Henrique melengkapkan malam gemilang skuad kendalian K.Devan itu pada minit ke-80.

 

2) TFC VS PERAK (Final Piala Malaysia 2018)

Rasanya semua masih ingat dengan perlawanan akhir yang cukup dramatik ini. Bermula dengan pendahuluan 2-0, TFC melepaskan peluang untuk menjadi juara selepas diikat Perak pada 90 minit permainan.

Jaringan Faiz Nasir pada minit ke-96 seterusnya memberikan TFC sekali lagi peluang untuk memenangi perlawanan tersebut namun ketika penyokong Terengganu mula bersorak, Leandro Dos Santos menghidupkan peluang Perak hasil jaringan minit ke-120.

Dalam penentuan penalti, kegagalan Igor Zonjic dan Thierry Bin menyempurnakan sepakan akhirnya memberikan Perak kejuaraan sementara Terengganu pulang dengan air mata kekecewaan.

 

3) TFC VS PKNP FC (Liga Premier 2017)

Terengganu hanya memerlukan seri sahaja dalam aksi terakhir Liga Premier 2017 untuk bergelar juara. Menjelang aksi terakhir menentang PKNP FC, mereka berkongsi mata yang sama (47 mata) dengan Kuala Lumpur yang turun menentang JDT II di Larkin.

TFC mendahului 1-0 di Perak pada babak pertama. Menurut Astro Arena,  dalam bilik persalinan, para pemain TFC mendapat tahu KL sedang ketinggalan. Situasi ini menyaksikan Terengganu akan dinobatkan sebagai juara jika keputusan kekal hingga akhir perlawanan.

Namun, inilah yang dimaksudkan dengan istilah ‘bottlers’. Dalam separuh masa kedua, TFC terlampau selesa sehingga membenarkan PKNP FC bangkit untuk menang 3-1 perlawanan tersebutnya.

Akibatnya, KL muncul juara menerusi perbezaan jaringan gol sementara Terengganu hanya boleh berpuas hati sebagai naib juara walaupun satu ketika mereka dalam landasan selesa untuk bergelar juara Liga Premier 2017.