Oleh : Muhammad Al Zaem & Fadzlie Ahmad

Siapa sangka, Derby Lembah Klang pada malam ini adalah perlawanan paling dinantikan oleh penyokong mereka sejak sekian lama. Ini kerana, kedua-dua pasukan iaitu Selangor dan Kuala Lumpur akan mengerah segala tenaga yang mereka ada bagi mengisi slot terakhir ke suku akhir dari Kumpulan D bagi mengiringi pasukan T-Team yang telah layak.

Skuad ‘The City Boys’ yang dibimbing Razip Ismail cuma memerlukan keputusan seri untuk layak ke suku akhir setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1992. Kuala Lumpur setakat ini belum pernah tewas dalam kempen Piala Malaysia dengan mencatatkan 2 kemenangan dan seri 3 kali. Pastinya Razip mengharapkan kepada penyerang yang sedang meningkat naik, Yong Kuong Yong untuk merobek gawang Selangor sambil dibantu Ahmad Hazwan Bakri dan See Kok Luen.

Sementara itu, peletakan jawatan K. Devan sebagai jurulatih Selangor telah disambut dengan kemenangan bergaya menewaskan PDRM 4-1 selepas mempamerkan aksi hambar sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Selangor yang kini dibimbing sementara oleh P. Maniam berusaha menyelamatkan Misi 33 yang telah dicanang pengurusan mereka sejak awal kempen Piala Malaysia tempohari. Beliau yang berani mengubah formasi pasukan dan menurunkan pemain yang sering memanaskan bangku simpanan, meletakkan harapan sekali lagi kepada Fadzli Shaari dan Amri Yahya untuk menjaringkan gol dan dibantu oleh jentera tengah yang turut mampu merobek gawang.

Menyedari betapa penting dan hangatnya perlawanan derby malam ini, Azidan Sarudin iaitu bekas kapten Kuala Lumpur musim lalu mempunyai misi tersendiri bagi menghadapi bekas rakan sepasukan.

Mengemudi jentera tengah pasukan Selangor dan merekodkan 4 gol dalam Liga Super, Azidan menolak jauh rasa simpati dan berazam untuk menjaringkan gol untuk Selangor.

“Saya yakin Selangor mampu membenam Kuala Lumpur dan Insya Allah sedikit tuah akan membantu kami”, ujar Azidan. Beliau juga mengharapkan peminat The Red Giants hadir ke Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan kepada pasukan.

Pemenang perlawanan derby ini menyaksikan mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A samada Perak yang telah layak ataupun Kedah dan Sabah yang bertarung merebut slot terakhir dari kumpulan tersebut.