FAM akan aturkan perlawanan alternatif jika perancangan tidak menjadi kenyataan

Bagi mendapatkan barisan pemain terbaik, ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagopal turut membuat tinjauan perkembangan pemain dalam Liga Malaysia selain nama yang disenaraikan untuk dipanggil mengikuti latihan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Beliau berkata pemantauan yang dilakukan itu merupakan salah satu tugasan yang perlu dilakukan bagi memantau perkembangan pemain kebangsaan. “Kalau kita boleh nampak pemain yang bersinar atau bermain dengan baik, kita
akan bagi peluang kepada mereka yang menunjukkan permainan yang baik dan konsisten.

“Saya juga berharap pemain yang sedia bermain untuk pasukan kebangsaan ini akan bermain dengan baik dalam semua perlawanan Liga Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Pahang dengan Terengganu di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Beliau turut mengakui dua pemain Pahang, Mohd Hafiz Kamal dan Mohd Fauzi Rozlan yang menunjukkan persembahan menarik dalam setiap perlawanan, antara pemain dalam senarainya untuk dipanggil mengikuti latihan berkenaan.

Menurutnya pemain yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha juga perlu dipanggil mengikuti latihan berkenaan bagi membantu pasukan kebangsaan.

“Persembahan kurang memuaskan dua pemain itu bukan alasan untuk kita tidak panggil mereka sertai pasukan kebangsaan, dengan pengalaman yang ada selain kita turut memanggil beberapa muka baharu,” katanya.

Beliau yang baru pulang dari Bahrain turut membuat pemerhatian terhadap pasukan yang bakal ditentang pada pusingan kelayakan Piala Asia untuk membuat persediaan lebih rapi. Saingan kelayakan Piala Asia 2015 dijadual bermula 6 Feb depan dengan 20 pasukan akan dibahagi dalam lima kumpulan merangkumi empat pasukan.

Dua pasukan teratas selepas mengharungi enam perlawanan timbal balik akan layak ke pusingan akhir di Australia, 4 hingga 26 Januari 2015. Dalam pusingan kelayakan itu pasukan negara diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Bahrain dan Yemen.
— BERNAMA