Oleh : Muhammad Al-Zaem

Pertemuan antara Selangor dan Kuala Lumpur untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011 kali ini sememangnya perlu diberi tumpuan. Ianya bukan sahaja mengenai derby Lembah Klang di antara kedua-dua pasukan, malah peningkatan Kuala Lumpur dalam kancah Piala Malaysia kali ini mengundang kembali persaingan antara kedua-dua pasukan untuk menjadi pasukan terbaik dari Lembah Klang.
Diletakkan dalam kumpulan yang sama iaitu Kumpulan D, Selangor sememangnya pilihan utama untuk layak ke pusingan suku akhir. Namun, peningkatan mendadak Kuala Lumpur yang dibimbing Razip Ismail ini sememangnya diluar dugaan pemerhati bolasepak negara. Menang dalam dua perlawanan sebelum ini menentang PDRM 3-0 dan satu lagi pasukan pilihan iaitu T-Team 2-1, memberikan satu senario baru dalam persaingan Kumpulan D ini.

Selangor pula yang tumbang pada perlawanan pertama menentang T-Team, bangkit pada aksi kedua di Stadium Shah Alam menumbangkan PDRM 2-0. Selangor akan melangkah ke Stadium Selayang malam esok dengan azam untuk kembali bersaing merebut tempat ke suku akhir. Mereka perlu kembali konsisten agar Misi 33 mereka tercapai.

Selain itu, pertembungan antara Perak dan Kedah dalam Kumpulan A juga perlu diberi tumpuan. Lebih dikenali sebagai Derby Utara, kedua-dua pasukan dari utara tanahair ini perlu bangun mencari konsistensi untuk pasukan masing-masing. Ini kerana kedua-dua pasukan masih terumbang ambing mencari rentak terbaik.

Kedah yang tumpas ditangan Sabah 2-1 pada perlawanan sebelum ini, perlu kembali mencari sentuhan kemenangan dan konsistensi jika mahu layak ke pusingan berikutnya. Kehilangan 5 tonggak utama yang digantung pula tidak perlu dijadikan alasan oleh Perak untuk beraksi kurang baik, namun kemenangan ke atas Johor di Stadium Ipoh tempohari perlu diteruskan dalam perlawanan ini pula.

Selain daripada dua perlawanan tersebut, terdapat lagi lima perlawanan yang berlangsung pada esok hari iaitu pertembungan Sabah dan Johor dalam Kumpulan A, Negeri Sembilan bertemu Terengganu dan PKNS FC bertemu Sime Darby dalam Kumpulan B, Sarawak dan Johor FC dalam Kumpulan C serta T-team melayan kunjungan PDRM dalam Kumpulan D. Perlawanan antara Felda United dan Kelantan adalah pada hari Rabu, 14 September di Stadium Selayang.