Liga Malaysia musim 2018 yang akan berlangsung awal Februari tahun depan menyaksikan kebanyakan pasukan mula mengehadkan perbelanjaan mereka.

Kebanyakan pasukan telah melakukan pemotongan bajet sebanyak 30 peratus berbanding musim lepas.

Difahamkan gaji keseluruhan bagi setiap pemain tempatan terutamanya bintang muda yang beraksi di saingan Liga Super dalam lingkungan RM15,000 hingga RM40,000, kecuali beberapa pemain ‘ternama’ yang menerima gaji sehingga RM100,000.

Pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah turut tidak berbelanja besar menjelang tarikh terakhir pendaftaran pemain Liga Malaysia iaitu pada 14 Januari.

Hal ini kerana banyak pasukan yang telah berbelanja besar dalam mendapatkan pemain bertaraf bintang pada musim lalu.

Perbelanjaan besar yang dilakukan telah menjadi penyebab pada musim depan banyak pengurangan yang berlaku.

Harimau Selatan yang menjadi juara Liga Super empat kali berturut-turut, dilihat tidak lagi melakukan pembelian besar-besaran dalam mendapatkan pemain bintang, sebaliknya memberi tumpuan dengan memancing pemain-pemain muda yang telah menyinar.

Antara pemain muda yang telah sah menjadi milik JDT adalah Shafiq Ahmad, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan difahamkan mereka bakal menandatangani pemain terbaik Liga Perdana, Muhd. Shahrel Fikri Fauzi dan ketua pasukan skuad negara Bawah 23 tahun, Adib Zainudin.

Kepulangan kembali para pemain import terdahulu yang telah menaikkan nama JDT sebelum ini, iaitu Harris Harun, Fereyra Diaz dan Luciano Figueroa menyaksikan pasukan itu tidak lagi menjadi pasukan yang rancak melakukan pembelian pemain pada musim 2018.

Beralih kepada Pahang, yang menamatkan saingan liga di kedudukan kedua, pasukan Tok Gajah turut dilihat tidak berbelanja besar dalam mendapatkan pemain baharu dalam memperkuatkan pasukan musim depan, mungkin mereka lebih selesa menggunakan khidmat pemain sedia ada.

Sementara itu, Kedah mengikut jejak Pahang dengan tidak melakukan banyak perubahan apabila mengekalkan hampir keseluruhan pemain musim lalu manakala Selangor pula memberi kepercayaan kepada pemain muda dengan menaikkan pangkat lapan pemain daripada Piala Presiden untuk menguatkan pasukan

Dalam pada itu, Terengganu FC I yang merupakan pendatang baharu Liga Super dilihat telah membuat persiapan rapi, selain menjadi pasukan pertama mengesahkan barisan pemain yang lengkap untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sumber : Utusan

Foto Kredit : Liga Super Malaysia