COBRA 10s 2012 Mendapat Sokongan Penajaan

 

16 pasukan akan berentap pada Kejohanan Ragbi HSBC Cobra 10 Sebelah Kali Ke-43 yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 November di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Selain pasukan ‘tuan rumah’ COBRA, lima pasukan lain dari Malaysia yang mengambil bahagian adalah ASAS RC, NS Wanderers, Borneo Eagles, Sabah Eagles dan Kris Conlay RC.
Sementara itu 10 pasukan dari luar negara seperti Afrika Selatan, UK, Fiji, Australia dan New Zealand melengkapkan senarai pasukan yang bertanding. Juara bertahan, Penguins dari UK turut mengesahkan penyertaan mereka.
Pengerusi Komiti Kejohanan, Tan Sri Krishnan Tan berkata, persaingan semakin sengit untuk kejohanan ini dan menjadi sukar untuk semua pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan COBRA Ditagih Aksi Terbaik

“Kami berharap kejohanan tahunan yang diadakan secara konsisten ini  dapat meningkatkan kualiti ragbi di negara kita. Untuk pasukan COBRA, buat yang terbaik selaku tuan rumah” katanya kepada pemberita selepas menerima tajaan kejohanan itu di Kelab COBRA, Petaling Jaya, semalam.
Selain HSBC, kejohanan ini mendapat tajaan Carlsberg, IJM, ASTRO, Newfields dan Gatorades.
Tahun lalu, Penguins berjaya menundukkan COBRA dengan 12-10 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.