KUALA LUMPUR : Pemain pilihan utama dari pusingan kelayakan, Hsieh Su-Wei dari Taiwan memenangi gelaran WTA pertamanya apabila muncul juara Terbuka BMW Malaysia di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort dekat sini, semalam.

Dengan persembahan bertenaga dan sedikit elemen nasib yang membantu, Su-Wei pastinya mengenang kejayaan ini di sepanjang hidup beliau.

Foto : Radi Mohamad

Su-Wei muncul juara setelah Petra Martic terpaksa menarik diri disebabkan keletihan dengan keputusan 2-6, 7-5 4-1.

“Saya tidak pernah menjangka untuk menang. Adalah tidak mudah bagi saya kerana saya tidak dapat tidur apabila tiba dan terpaksa bermain keesokkan harinya! “Kata Su-Wei.

“Saya telah berusaha keras untuk menang dan ia adalah sangat baik apabila memenanginya.. Ini minggu yang bagus untuk Taiwan di sini, “kata Su-Wei yang merujuk kepada pasangan Taiwan, Chan Kai-Chen Chuang Chia Jung yang telah memenangi acara beregu yang berlangsung awal.

Dan jika mengimbas rekod,  Kuala Lumpur merupakan gelanggang bertuah untuk pemain Taiwan ini  kerana Su-Wei pernah  memenangi kejohanan Bawah-18 Tahun ketika berumur 14 tahun.