pop

 

Pierre Rolland dan Andrea Guardini merupakan antara 132 pelumba dari 30 negara yang akan memulakan saingan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2013, Emir Abdul Jalal berkata kesemua pelumba
tersebut telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-18 LTdL yang bermula di
Kangar, Perlis, 21 Feb ini.

“Dunia akan mengenali Malaysia secara lebih dekat dengan kehadiran pelumba
antarabangsa mewakili lima benua…ini ekoran liputan media yang meluas di luar
negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara pelumba hebat bakal menjadi perhatian ialah Rolland, penunggang
Perancis berusia 26, yang memenangi salah satu peringkat pendakian Tour de
France pada dua edisi lepas.

Guardini, dari Itali, pula merupakan penunggang pertama merangkul kemenangan
dalam enam peringkat pada edisi tahun lepas dan penunggang paling banyak meraih
kemenangan dalam sejarah LTdL iaitu 11 peringkat.

Dalam saingan kali ini, Malaysia akan diwakili oleh 17 pelumba. Antara penunggang dari 12 negara Eropah ialah dari dari Belanda, Itali, Sepanyol, Perancis, Slovenia, Jerman, Poland, Begium manakala benua Asia terdiri daripada Jepun, China, Korea Selatan, Singapura, kazakhstan, Indonesia dan Iran.

Negara lain pula ialah Colombia, Argentina, Amerika Syarikat, Venezuela, Afrika Selatan, Ethiopia, Namibia, Australia dan New Zealand.

Sebanyak 22 pasukan termasuk lima pasukan profesional akan menyertai LTdL
2013 melibatkan 10 peringkat perlumbaan, meliputi jarak 1,471.4 kilometer. – BERNAMA