Connect with:




HSN21KM kembali pada edisi ke-3, kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan lebih 12,000 pelari, peningkatan penyertaan daripada tahun lalu iaitu sebanyak 10,000 pelari.

PROTON pada tahun ini masih lagi memegang gelaran sebagai penaja, dengan menawarkan PROTON Iriz sebagai hadiah utama cabutan bertuah. Kereta yang bernilai RM46,000 merupakan hadiah yang paling dinanti-nantikan bagi mereka yang mengambil bahagian dalam separuhmaraton ini. Untuk rekod, PROTON HSN21km telah dinobatkan sebagai acara Separuh-Maraton Terbaik di Malaysia oleh Pacemaker, sebuah Portal Sukan khusus untuk acara larian di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni, sebagai penganjur PROTON HSN21KM berkata, “Kami amat berbesar hati kepada PROTON kerana masih yakin dengan acara ini untuk kali yang ketiga. Ini adalah bukti nilai PROTON dapat dilihat melalui acara larian ini, yang telah berkembang dan menjadikan PROTON HSN21KM sebagai salah satu acara separuh-maraton terbaik di Malaysia pada hari ini.

“Kami juga gembira PROTON dapat berkongsi visi mereka untuk menyumbang ke arah gaya hidup yang sihat dan aktif menerusi acara penyertaan secara besar-besaran.”

Sementara bagi Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, PROTON amat berbangga untuk terus menyokong HSN21km buat kali ketiga.

“Di PROTON, kami tidak hanya memberi tumpuan kepada ekonomi tetapi juga berkongsi minat dalam mempromosikan gaya hidup yang sihat dan aktif, dan berhasrat untuk terus menyokong kempen Healthy Sporting Nation.

“Sokongan kami terhadap HSN21KM adalah untuk membawa jenama itu lebih dekat kepada rakyat Malaysia dengan membawa kepada perubahan yang lebih positif bermula dengan masyarakat sekitar kita”.

Selain Proton Iriz, PROTON HSN21KM 2018 juga menawarkan hadiah cabutan bertuah yang menarik termasuk penyertaan dalam acara larian Okinawa Marathon, Gold Coast dan Bangkok Midnight Marathon secara percuma, penginapan percutian di Malaysia dan banyak lagi.

Dianggarkan keseluruhan hadiah cabutan bertuah dalam acara ini berjumlah RM79,000.00. PROTON HSN21KM telah menjadi acara penutupan untuk Hari Sukan Negara, yang saban tahun diadakan bagi mempromosi penyertaan sukan di kalangan rakyat Malaysia. Sejumlah aktiviti sukan turut dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan sepanjang hari tersebut yang diadakan di perkarangan KL Sports City.