Connect with:




Pemain skuad kebangsaan Belgium, Marouane Fellaini telah mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa di dalam media sosialnya.

Keputusan tersebut dibuat oleh pemain berusia 31 tahun itu atas dasar ingin memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk menyerlahkan kemampuan di peringkat tertinggi.

Selama 12 tahun menyarung jersi kebangsaan Belgium, sudah pasti terdapat pelbagai kenangan yang telah menyinar karier Fellaini bersama skuad kebangsaanya.

Antara yang pasti kekal dalam ingatannya adalah kejayaan membawa pasukan Belgium meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2018 di Rusia dan berjaya meletakkan negara tersebut di tangga pertama ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini.

Memetik kenyataan daripada akaun Twitter rasmi milik Fellaini, beliau menegaskan bahawa keputusan yang diambil ini bukanlah satu keputusan mudah.

“Selepas 12 tahun mewakili Belgium di pentas tertinggi, saya ingin memilih untuk bersara daripada pentas antarabangsa.

“Ia bukan mudah bagi saya untuk membuat keputusan ini tetapi saya rasa sudah tiba masanya saya mengundurkan diri dan memberi peluang kepada pemain muda Belgium untuk meneruskan kegemilangan bola sepak Belgium.

“Ini satu penghormatan bagi saya untuk mewakili negara sebanyak 87 kali dan menjadi sebahagian anggota pada dua kempen Piala Dunia dan sekali di Piala Eropah bersama Belgium.

‘’Saya mempunyai banyak pengalaman bersama skuad Belgium sejak membuat penampilan pertama pada tahun 2007 sehingga kali terakhir pada Piala Dunia di Rusia yang lalu dan saya sangat berbangga kerana Belgium kini berada ditempat teratas ranking dunia FIFA,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Fellaini sempat mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan serta penyokong ketika karier antarabangsanya.

“Saya berterima kasih kepada penyokong Belgium yang sanggup mengembara seluruh dunia untuk memberi sokongan kepada kami.

“Saya berharap pengurusan dan pasukan Belgium berjaya pada kelayakan Piala Eropah akan datang. Terima kasih Belgium,” katanya lagi.

Setelah memutuskan meninggalkan Manchester United, Fellaini memilih untuk beraksi bersama kelab dari China, Shandong Luneng yang diletakkan satu kumpulan bersama Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2019.

Foto : Belgium FA