Connect with:




Roger Federer berjaya merangkul kejuaraan keempat ATP Terbuka Miami seterusnya meraih kemenangan ke-101 sepanjang kariernya apabila mencatat kemenangan 6-1, 6-4 ke atas John Isner dalam akis final, awal pagi tadi.

Sebelum ini, pemain veteran berusia 37 tahun dan juga pemain nombor lima dunia tumbang ditangan Dominic Thiem dalam aksi final di Indian Wells mempamerkan aksi berbeza di Hard Rock Stadium apabila mudah bergelar juara keduanya musim ini.

Federer hanya memerlukan masa 24 minit dalam set pertama dan tempoh 63 minit keseluruhan untuk mengatasi Isner yang terkenal dengan kekuatan servisnya.

“Saya melakukan tugas permulaan yang hebat dalam perlawanan hari ini. Saya akui melakukan beberapa kesilapan dalam set pertama, tetapi saya berjaya atasi kelemahan itu. Jadi saya amat gembira dengan keputusan ini.

“Minggu ini adalah minggu yang cukup hebat buat saya. Saya amat gembira melaluinya ia sangat luar biasa. Pertama kali saya membuat penampilan di sini pada 1999 dan kini sudah 20 tahun saya di sini, ia begitu bermakna buat saya,” jelas Federer.

Untuk musim 2019, Federer bermula cemerlang apabila berjaya memenangi Kejuaraan Dubai pada 2 Mac lalu sebelum beliau tewas dalam aksi final di Indian Wells dua minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, nasib lebih memihak kepada Federer apabila Isner yang turun dengan beraksi di depan penyokong sendiri terpaksa bermain dalam kesakitan apabila beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki kirinya sepanjang perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, pemain asal Switzerland itu berjaya merangkul gelaran Master ke-28 dan kemenangan ke-101 serta memenangi 20 gelaran perseorangan Grand Slam. – BBC

Foto : AFP