100 pasukan IPT bakal merebut kejuaraan

 

Hampir 100 pasukan dari 30 IPT tempatan serta 20 pasukan sekolah menengah akan berentap dalam Kejohanan Bola Keranjang 3-on-3 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada hari ini sehingga 7 Oktober ini.

Tuan rumah iaitu UMP yang juga Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang menjangkakan lebih 400 orang pemain akan berhimpun sepanjang kejohanan berlangsung. Bagi Penolong Naib Canselor UMP,  Dr Yusserrie Zainuddin, terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan bagi menarik lebih banyak penyertaan pada kejohanan kali ini.

“Kali ini penyertaan bertambah dari 90 pasukan pada 2011 ke 120 pasukan. Setiap pasukan juga dibenarkan untuk menyenaraikan seorang pemain luar negara. Lebih unik lagi, kejohanan turut dimasukkan dalam kalendar SUKIPT pada tahun ini” jelas beliau dalam sidang media kejohanan di Wisma OCM.

4 kategori dipertandingkan kali ini iaitu 2 bagi kategori IPT (lelaki dan wanita) serta 2 bagi kategori sekolah (lelaki dan wanita). Edisi 2011 dimenangi oleh USM dan UPM manakala tiada kategori sekolah dipertandingkan pada edisi yang lepas.

Dalam perkembangan yang lain, skuad bola keranjang Sukan Universiti Asean (AUG) kini dalam persediaan rapi menjelang AUG 2012 di Laos, Disember nanti.

Pengurus pasukan, Nur Adam Maxmillian berkata, pasukan akan berangkat ke Filipina untuk menyertai kejohanan di sana pada 15 hingga 19 Oktober ini sebelum menjalani sesi latihan pusat terakhir pada bulan November dengan sasaran yang ditetapkan adalah pingat emas.

“Skuad kali ini diperkuatkan lagi dengan 5 pemain kebangsaan. Jadi kita yakin untuk mengutip emas di Laos nanti sekaligus menebus kekecewaan¬†ditewaskan Thailand pada aksi final di AUG 2010 yang lalu” jelas Nur Adam yang ditemui dalam majlis yang sama.