Connect with:




Dunia semakin maju dan berkembang pesat, begitu juga perkembangan dunia sukan baru semakin meluas di serata dunia dan jika sukan-sukan baharu ini mendapat sambutan sudah pasti ia semakin berkembang meluas ke seluruh dunia.

Kini banyak sukan yang jarang kita dengar tetapi sukan bekenaan semakin popular di Malaysia. Bola sepak dan babminton tidak usah bercerita lagi kerana ia sudah menjadi kegemaran rakyat di negara ini.

Maka artikel ini akan menceritakan 10 sukan yang baharu tetapi mempunyai nilai tersendiri untuk menjadi antara sukan terbaik di Malaysia. Ada diantara sukan ini mampu diperkenalkan dan dibangunkan di Malaysia. Kebanyakan sukan ini mempunyai peraturan yang telah ditetapkan oleh persatuan masing-masing

  1. Floorball

Pasti masih ramai rakyat Malaysia tidak pernah dengar mengenai sukan floorball. Sukan ini merupakan sukan yang memerlukan enam pemain termasuk penjaga gol dalam satu pasukan. Sukan ini berasal dari Sweden dan sukan ini sangat popular di Eropah dan ia sukan berkembang serta telah berjaya meraih pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 2008.

Setiap pemain biasanya mempunyai pemukul karbon grafit yang terang warnanya iaitu kira-kira 0.91 meter panjang dengan hujungnya berbentuk seakan-akan pemukul hoki ais untuk memukul bola berukuran 7.62 sentimeter, berwarna putih dan diperbuat daripada plastik.

Pada tahun 2002 dan 2004, skuad negara telah menghantar pasukan ke Kejohanan Dunia Floorball bagi skuad lelaki. Manakala bagi skuad wanita, mereka menghantar pasukan pada tahun 2003 dan 2005. Di samping itu, skuad negara juga menyertai beberapa pertandingan lain antaranya adalah di peringkat Kejohanan Floorball Asia Pasifik (2004, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010), Kejohanan Piala Dunia Universiti (2014), Piala SEA (2014) dan Sukan Sea (2015).

Pada Sukan SEA 2015 di Singapura, pasukan lelaki Malaysia berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara tersebut.

  1. Dodgeball

Sukan dodgeball masih ramai yang tidak pernah mendengar tentang sukan ini. Kebiasaannya sukan ini berkembang dan popular dalam kalangan pelajar.

Dodgeball adalah suatu permainan di mana para pemain berusaha untuk mematikan pemain-pemain pihak lawan dengan menggunakan bola yang ada pada mereka dan pada masa yang sama mengelak daripada terkena bola yang dibaling oleh pihak lawan.

Malaysia telah berjaya meraih banyak kejuaraan dalam sukan ini. Pasukan Malaysia pernah menjuarai tiga kejuaraan Dodgeball Asia Pasifik serta mendapat tempat kedua bagi lelaki dan ketiga bagi wanita di Kejohanan Dodgeball Dunia di Las Vegas.

Dodgeball Malaysia pernah menduduki ranking pertama dunia dan kini Malaysia berada di rangking kelima dunia dibelakang Australia, Austria, England dan Itali.

  1. Lacrosse

Sukan yang melibatkan sentuhan ini berasal dari Benua Amerika Utara. Dalam sukan ini, 10 pemain diperlukan dalam satu pasukan dengan menggunakan pemukul lacrosse yang panjang dan dipasang dengan jarring untuk lontaran bola getah ke dalam gol lawan.

Sukan ini juga dikategorikan sebagai sukan yang ganas kerana ia dibenarkan ‘checking’ dalam sukan lacrosse lelaki. Topi keledar sukan dan kelengkapan keselamatan diperlukan oelh pemain lelaki tetapi tidak diperlukan oleh wanita. Lacrosse wanita hanya dibenarkan ‘stick checking’ dan tidak dibenarkan untuk ‘body checking’. Sukan lacrosse telah diperkenalkan kepada Malaysia pada tahun 2015 oleh Persatuan Lacrosse Malaysia.

  1. Quidditch

Quidditch merupakan permainan bola udara yang dimainkan di atas penyapu terbang, permainan yang ibarat bola sepak, polo atau bola keranjang.  Bagi peminat Harry Potter pasti sudah biasa dengan sukan ini keran ia digunakan oleh J. K. Rowling dalam siri novel Harry Potter.

Sukan ini diperkenalkan di Amerika Syarikat, sukan ini menggabungkan unsur bola baling dan dodgeball serta turut menggunakan bola tampar dan tiga dodgeball.  Pemain hanya perlu meletakan kayu atau batang penyapu diantara kaki mereka.

Quidditch dimainkan di padang berbentuk lonjong dan mempunyai tiga gelung gol di setiap dua hujung. Pasukan yang memperoleh paling banyak mata akan menang. Terdapat tujuh pemain dalam pasukan iaitu satu Penjaga (Keeper), dua Pemukul (Beaters), tiga Pengejar (Chasers) dan satu Pencari (Seeker). Mereka pula memainkan empat jenis bola iaitu sebiji Quaffle, dua biji Bludger dan sebiji Snitch.

Sukan ini sangat unik kerana peraturan memerlukan campuran jantina dalam pasukan. Malaysia pernah membuat penampilan pertama dalam Piala Dunia Quidditch dan berjaya menduduki tempat ke-18 pada 2018 di Itali.

  1. Ragbi Sentuh

Sukan ini mengehadkan sentuhan dan ia boleh dimainkan secara bercampuran jantina iaitu enam pemain setiap pasukan. Peraturan sukan ini adalah apabila disentuh oleh pihak lawan, pemain mesti menjatuhkan bola untuk rakan sepasukan mengambil bola itu.

Permainan ini tidak banyak bezanya dengan permainan ragbi yang biasa. Cuma perbezaannya adalah jumlah pemain, ukuran gelanggang, peraturan dan cara bermain.

Tiada pertukaran atau gol dalam ragbi sentuh ini. Pada tahun ini, Malaysia Malaysia telah diberi hak untuk menjadi tuan rumah edisi kesembilan Kejohanan Piala Dunia Sukan Touch 2019 itu buat julung kalinya dan dijadualkan berlangsung pada 29 April hingga 4 Mei ini di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP). Sejumlah 2,400 pemain yang mewakili 26 negara bakal beradu tenaga pada edisi kali ini dalam misi mereka untuk memburu gelaran juara dunia.

  1. Woodball

Sukan ini bukanlah asing di Malaysia kerana ia telah diperkenalkan di Malaysia oleh Persatuan Woodball Malaysia lebih 20 tahun dahulu. Sukan ini sama seperti sukan croquet yang memerlukan pemain menggunakan kayu pemukul untuk memukul bola kayu melepasi pagar. Kursus sukan woodball ada di serata Malaysia tetapi sukan ini lebih terkenal di Pahang.

Menariknya, meskipun mempunyai peraturan antarabangsa, woodball tidak memerlukan tempat khusus. Lokasi boleh dimainkan dimana sahaja, baik di lapangan bola sepak, kawasan tanah luas, mahupun di pantai. Secara umum, permainan ini terdiri dari 12 lintasan, yang sering disebut laluan perairan, dengan lebar kurang lebih 2 meter dan panjang yang boleh disesuaikan.

Cara bermain woodball cukup sederhana. Bola kayu dipukul dengan pemukul kayu tersebut menyusuri garis lintasan, untuk selanjutnya dimasukkan ke gawang. Pemain yang berjaya memasukkan bola ke gawang dengan perhitungan pukulan yang paling sedikitlah yang berhak menjadi juara.

  1. Jombola

Sukan ini adalah sukan terbaru yang dicipta oleh rakyat Malaysia sendiri. Sukan ini merupakan gabungan sukan babminton, tenis dan ping pong dengan menggunakan raket kayu dan bola getah. Sukan ini masih baru dan ia mula mendapat perhatian dari universiti tempatan dan luar negara.

Jombola diperkenalkan di Malaysia pada 2006 dan dilancarkan di beberapa sekolah seluruh negara. Pada Ogos 2011, jombola diperkenalkan secara rasmi dalam agenda sukan dunia serta jombola turut diperkenalkan di universiti sekitar Thailand, China, India dan Korea Selatan.

Cara permainannya pula mengikut rentak badminton, ping pong dan tenis hinggakan ia menuntut ketajaman penglihatan serta ketangkasan fizikal pemain. Nyata jombola sukan yang menarik untuk ditonton, malah seronok untuk dimainkan. Disifatkan sebagai aktiviti raket terbaru dalam arena sukan dunia, jombola tidak memerlukan kos tinggi untuk dimainkan.

Cukup dengan raket sederhana kecil dan bola busa, jombola sesuai untuk semua peringkat usia, malah boleh dijadikan aktiviti rekreasi hinggalah kepada permainan berprestasi tinggi. Sama seperti sukan raket lain, jombola mempunyai peraturannya tersendiri dan boleh dimainkan secara individu mahupun beregu.

  1. Speed Badminton

Sukan ini berbeza dengan sukan badminton yang sebelum ini. Sukan ini berasal dari Jerman dan mula diperkenalkan pada 2001, ia boleh dimainkan di mana-mana sahaja. Raket speed badminton sama seperti raket squash tetapi ia lebih ringan dan ‘speeders’ yang digunakan lagi berat daripada bulu tangkis.

Sukan ini tidak memerlukan jaring seperti badminton. Speed badminton semakin berkembang dan dikenali di Pulau Pinang. Kejohanan Dunia Speed Badminton Pertama berlangsung pada 26 dan 27 Ogos 2011 di Berlin, Jerman. Lebih 380 peserta dari 29 negara yang bermain dalam 10 kategori.

Pemain dari Kanada, Amerika Syarikat dan Australia turut hadir. Per Hjalmarson dari Sweden memenangi gelaran lelaki, Janet Köhler dari Jerman memenangi gelaran wanita dan Rene Lewicki dan Daniel Gossen dari Jerman memenangi gelaran beregu dalam perlawanan akhir. Sejak itu Kejohanan Dunia dan Eropah bergilir setiap tahun.

  1. Ultimate Frisbee

Ultimate Frisbee merupakan sukan yang dimainkan dengan cakera atau piring (Frisbee) dan memerlukan tujuh pemain dalam satu pasukan. Mata dikira apabila seseorang pemain itu melempar cakera kepada rakan sepasukan dalam dalam zon akhir pihak lawan.

Permainan Ultimate Frisbee ini mula berkembang pada lewat tahun 60an di Amerika Syarikat. Pada awalnya, ultimate telah menolak peraturan yang sedia ada dengan memperkenalkan peraturan baru dimana ia lebih bersikap adil kepada para pemain.

Di Malaysia Ultimate Frisbee telah dimainkan tetapi kebanyakannya dalam kalangan warga asing yang menetap di Kuala Lumpur yang mempelajarinya dari negara asal mereka. Sukan ini telah dipertandingkan di Kejohanan Dunia dan telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 2013.

  1. Hoki Kasut Roda

Sukan ini sama dengan sukan hoki ais. Sebenarnya sukan hoki ais sangat popular di Malaysia walaupun kekurangan gelanggang untuk bermain. Pemain menggunakan kayu hoki dan kelengkapan yang sama dengan hoki ais cuma sukan ini menggunakan cakera getah dalam sukan ini lebih ringan. Ia diperbuat daripada plastik dan direka untuk geseran yang sesuai dengan permukaan gelanggang.

 

Itulah 10 sukan baharu yang dapat dibangunkan dan mampu menyinar jika sukan-sukan tersebut mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia. Mungkin dalam senarai berkenaan sudah ada yang mengetahuinya malah pernah bermain sukan berkenaan. Tetapi jika yang belum pernah mengetahuinya dan berminat untuk mencuba salah satu sukan berkenaan, apa salahnya sama-sama membangunkan sukan berkenaan.