Acara bola sepak akan bermula 14 Ogos secara rasminya dengan tumpuan pastinya terarah kepada acara lelaki. Malaysia selaku tuan rumah berada dalam kumpulan A, bersaing dengan Singapura, Myanmar, Brunei dan Laos.

Juara bertahan, Thailand pula diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Vietnam, Indonesia, Cambodia, Filipina dan Timor Leste.

Setiap pasukan pastinya mempunyai bintang-bintang harapan yang bakal menerajui pasukan masing-masing. Dunia Sukan menyenaraikan beberapa nama yang perlu diberi perhatian sepanjang Sukan SEA KL2017 berlangsung.

1) AUNG THU

FOTO KREDIT: FourFourTwo

Penyerang berbisa Myanmar ini dipilih sebagai pemain muda harapan AFF pada 2015. Antara tunjang utama Myanmar dalam kejayaan mara ke Piala Dunia Bawah 20 tahun 2015. Aung Thu membantu kelabnya, Yadanarbon menjuarai Liga Myanmar musim lalu yang menyaksikan dirinya turut dipilih sebagai pemain terbaik liga.

2) EVAN DIMAS & EZRA WALIAN

FOTO: FootbalChannelAsia

Pernah menajalani latihan bersama kelab La Liga iaitu Espanyol, Evan Dimas merupakan pemain muda Garuda  yang semakin menonjol. Ezra pula adalah bakat muda kelahiran Belanda yang bermain untuk Jong Ajax – pasukan remaja Ajax Amsterdam. Ezra baru sahaja pulang menjalani sesi pemilihan bersama West Ham baru-baru ini.

3) NGUYEN CONG PHUONG

Penyerang berusia 22 tahun ini dikenali dengan kemahiran mengawal bola dengan kemas selain mempunyai penyudah yang tajam. Pernah diselubungi kontroversi penipuan umur, pemain ini juga pernah beraksi di Liga Divisyen 2 Jepun bersama kelab Mito HollyHock.

4) AKHYAR RASHID

FOTO: Kedah FA

Adik kepada bekas pemain Kedah, Rafdi Rashid ini menunjukkan prestasi yang mengagumkan pada kempen kelayakan AFC bawah-23 tahun tempoh hari. Akhyar pernah dihantar berlatih oleh Kedah FA ke Cardiff City ketika masih berusia 15 tahun.

5) ADAM SWANDI

Pada 2013, Adam menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Ligue 2 Perancis, FC Metz selepas menolak tawaran dari kelab-kelab seperti Atletico Madrid dan Ajax Amsterdam. Anak kepada bekas pemain kebangsaan Singapura iaitu Swandi Kitto ini kini bermain dengan Home United di S-League.

FOTO: Strait Times

6) IRFAN DAN IKHSAN FANDI

Adik beradik Fandi ini mewarisi kehebatan yang ditinggalkan ayah mereka iaitu Fandi Ahmad – lagenda bolasepak Singapura. Irfan adalah abang dan bermain di posisi penyerang sementara Ikhsan beraksi di bahagian tengah.

7) CHENROP SAMPHAOUDI

FOTO: FourFourTwo

Thailand tidak pernah ketandusan penyerang. Dari Kiatisuk Senamuang kepada Teerasil Dangda, kini skuad Gajah Perang mempunyai bintang baharu iaitu Chenrop Samphaoudi. Beraksi dengan BEC Tero Sasana, Chenrop antara pemain dalam skuad Thailand yang memenangi emas di Singapura, dua tahun lalu. Mempunyai nama gelaran ‘Rooney Thailand’.

8) SAFAWI RASID

FOTO: Asiana

Walaupun tidak beraksi dalam kempen kelayakan AFC bawah 23 tahun baru-baru ini di Bangkok, Safawi masih terpilih berikutan statusnya sebagai antara penyerang muda terbaik di negara ketika ini. Anak kelahiran Dungun ini membuat kemunculan pertama bersama Harimau Muda ketika kempen Nations Cup, tahun lalu di Melaka.