Connect with:




Walaupun hanya berlumba sesama selebriti, persaingan di antara 10 artis tempatan yang beraksi di dalam siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge tetap sengit.

Masing-masing ingin menang, dan setiap pemandu mahu membuktikan kehebatan mereka di dalam litar.

Ini merupakan musim ketiga perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge dianjurkan. Musim pertama menyaksikan artis beat-box Shawn Lee dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala pelakon wanita Diana Danielle merangkul kejuaraan keseluruhan musim kedua.

“Persaingan semakin sengit. Maklumlah, semua orang nak menang,” kata Shawn Lee.

“Kalau berpeluang, saya pun nak memenangi kejuaraan untuk kali kedua tetapi masih terlalu awal untuk menetapkan apa-apa sasaran” tambah Shawn Lee.

Perlumbaan pusingan kedua musim ketiga akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini (9-10 November 2019) di Bandar Malaysia yang juga dikenali sebagai Pengkalan Udara TUDM di Sungai Besi.

Selain Shawn dan Diana, artis-artis popular lain ynag turut bertanding termasuk Nabila Razali, Shukri Yahaya, Nabil Ahmad, Janna Nick, Khai Bahar, Wany Hasrita, Ain Edruce and Syafiq Kyle.

“Di dalam litar tidak ada istilah ladies first,” kata pengacara dan pelawak Nabil Ahmad.

Format perlumbaan yang memaksa kesemua pelumba menggunakan jentera Toyota Vios yang sama dari segi spesifikasi tanpa sebarang pengubahsuaian juga menjanjikan perlumbaan yang lebih adil.

“Dengan ketiadaan sebarang kelebihan dari segi prestasi kenderaan, ia bergantung sepenuhnya kepada pengalaman dan kemahiran memandu di dalam litar. Ini menjadikan perlumbaan lebih adil tetapi sukar,” kata penyanyi wanita Wany Hasrita

Bagi seorang lagi penyanyi wanita Nabila Razali, beliau tidak mahu penyertaan selebriti di dalam siri perlumbaan sebegini disalah tafsir penonton dan peminat sebagai satu aktiviti promosi semata-mata.

“Kita manusia ni memang suka bersaing jadi bohonglah kalau Bella cakap tidak ada sedikit pun perasaan untuk mahu memintas kenderaan di hadapan, mendahului mahupun menenangi perlumbaan. Tetapi para peminat dan penonton perlu sedar bahawa kami ni bukanlah pelumba profesional jadi tahap pemanduan, kelajuan dan persaingan yang dipamerkan di dalam litar mungkin berbeza. Ini tidak bermakna kita bersiar-siar.”

Bagi mereka yang ingin menyaksikan perlumbaan, masuk adalah percuma dan perlumbaan serta pelbagai acara sampingan bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.