Setelah melalui cerita-cerita suka dan duka sepanjang 2017, arena sukan negara akan menempuh tahun 2018 yang dijangka memberi lebih banyak cabaran. Kalendar tahun ini amat padat dengan temasya antarabangsa. Ini platform terbaik untuk atlet-atlet negara membuktikan kejaguhan mereka di mata dunia.

Sempena Tahun Baru, Dunia Sukan bawakan 10 acara yang bakal menjadi tumpuan pengikut sukan Malaysia sepanjang 2018 ini.

1) Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun

Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menjadi pembuka tirai kempen sukan antarabangsa atlet negara. Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee membawa cabaran besar untuk memulihkan reputasi bolasepak negara yang dirundung malang tahun lalu. Diundi dalam kumpulan C bersama-sama 3 pasukan Timur Tengah (Iraq, Jordan, Arab Saudi), ia misi sukar untuk layak ke suku akhir namun bukan satu alasan untuk para pemain negara menampilkan aksi bertenaga sepanjang kejohanan yang diadakan di China ini berlangsung.

Pasukan negara akan memulakan kempen kejohanan menentang Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan seterusnya Arab Saudi (16 Januari).

2) Kejohanan Futsal AFC 2018

Tahun lalu, pasukan futsal negara mempamerkan peningkatan mendadak. Hampir sahaja mereka mengejutkan gergasi futsal Asia, Thailand dalam pentas Sukan SEA dan Kejohanan Futsal AFF. Kecemerlangan ini diharapkan diteruskan pada Kejohanan Futsal AFC 2018 di Taiwan yang akan berlangsung pada 1 hingga 11 Februari nanti.

Diundi dalam kumpulan A bersama tuan rumah iaitu Taiwan serta dua lagi pasukan – Vietnam dan Bahrain – ramai pemerhati bersetuju ini peluang terbaik untuk skuad kendalian Chiew Chun Yong mara ke suku akhir sekaligus menamatkan rentetan ‘kalah awal’ dalam 11 edisi yang disertai sebelum ini.

3) Sukan Olimpik Musim Sejuk

Jangan terkejut, walaupun Malaysia negara beriklim tropika, kita tetap akan menghantar penyertaan di Sukan Olimpik musim sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan Februari nanti. Malaysia mempunyai dua wakil di sana iaitu Jeffrey Webb untuk acara alpine skiing dan Julian Yee untuk acara figure skating.

Julian Yee ni boleh tahan kelakar. Tak percaya, saksikan video kuiz Julian Yee bersama An Najwa.

4) Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia UCI 2018

Juara dunia, Azizulhasni Awang dalam misi mempertahankan jersi pelangi yang dimenanginya tahun lalu di Apeldoorn, Belanda yang berlangsung dari 28 februari hingga 4 Mac. Memenanginya memang mudah namun untuk mepertahankannya, ia jauh lebih sukar. Azizul sedikit tenggelam dalam beberapa siri kejohanan yang disertai selepas memenangi kejohanan dunia tahun lalu namun Pocket Rocketman pasti akan bangkit dengan berbaki 2 bulan lagi untuk kejohanan terbesarnya tahun ini.

Tonton dokumentari mini khas mengenai beliau yang dihasilkan oleh majalah berbasikal terkenal, Rapha.

 

5) Sukan Komanwel dan Sukan Asia

 

Dua temasya sukan terbesar yang akan disertai kontinjen Malaysia tahun ini adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Dengan pencapain cemerlang ditunjukkan kontinjen negara pada Sukan SEA yang lalu, kesinambungan perlu diteruskan dalam dua temasya ini.

Sukan Komanwel akan diadakan pada 4 hingga 15 April di Gold Cost dengan sandaran tentunya diletakkan kepada skuad terjun, skuasy, boling padang dan badminton. Kontinjen negara perlu memperbaiki edisi di Glasgow iaitu hanya sekadar 6 emas.

Sukan Asia pula lebih mencabar dengan Malaysia berdepan penyokong fanatik Indonesia tidak kira apa acara sekalipun. Bakal diadakan dari 18 Ogos hingga 2 September, Malaysia juga perlu memperbaiki kutipan empat tahun lalu di Incheon (5 emas).

 

6) ONE FC

Foto: ONE FC

Tahun ini, pentas MMA terbesar di Asia akan singgah ke Malaysia sebanyak 3 kali berbanding dua kali pada tahun-tahun sebelum ini. Ia sekaligus memberi peluang untuk atlet-atlet MMA baru dari Malaysia menunjukkan keupayaan di pentas yang lebih besar. Selepas persaraan Ann Osman tahun lalu, Malaysia mungkin sekali lagi akan mengharapkan Agilan Thani sebagai pilihan terbaik untuk muncul sebagai pencabar tali pinggang kejuaraan dunia.

 

7) Piala Thomas dan Piala Uber

Piala Thomas dan Piala Uber tahun ini akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 20 hingga 27 May. Malaysia berdepan kemungkinan tidak layak – satu malapetaka besar badminton negara andai gagal ke separuh akhir di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. Dengan China, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun mempunyai pemain ranking lebih baik dari pemain negara yang ketika ini hanya mengharapkan Datuk Lee Chong Wei sebagai sandaran utama, pastinya ketua jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek perlu bersiap sedia dengan baki beberapa bulan sahaja lagi sebelum kempen kelayakan bermula.

 

8) Kejuaraan Ragbi Asia

Foto: Asia Rugby

Sokongan padu dari penyokong ditagih skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan bagi perlawanan besar yang bakal mereka hadapi tahun ini. Semuanya demi misi memburu slot saingan playoff Piala Dunia Ragbi 2019 yang berlangsung di Jepun. Malaysia akan beraksi di Kejohanan Ragbi Perdana Asia dimana pemenang akan beraksi menentang juara Kejohanan Ragbi Ocenia. Pemenang pertemuan ini seterusnya akan mara ke pusingan repecharge kelayakan Piala Dunia. Dari pandangan sejenak, ia satu proses yang panjang namun sebenarnya, Malaysia hanya dipisahkan dengan 8 perlawanan untuk layak ke Piala Dunia.

Skuad Bunga Raya perlu tumpukan perhatian terlebih dahulu di Kejohanan Ragbi Asia. Mereka akan berdepan cabaran dari Hong Kong dan Korea Selatan. Dalam kejohanan ini, Malaysia akan mengharungi empat perlawanan – dua di gelanggang sendiri (28 April & 5 Mei) dan dua lagi di laman lawan (12 Mei dan 19 Mei).

 

9) Hoki Piala Dunia

Skuad hoki negara akan beraksi di Piala Dunia pada 28 November hingga 16 Disember ini di Bhubaneswar, India. Jika edisi sebelum ini di Belanda menyaksikan Malaysia mengakhiri kempen di tangga tercorot, pastinya The Malaysian Speedy Tigers mahu memperbaiki kedudukan kali ini. Malaysia mungkin akan beraksi tanpa penjaga gol berpengalaman, S.Kumar yang digantung akibat penyalahgunaan bahan larangan.

 

10) Piala AFF Suzuki

Lupakan Piala Dunia di Rusia kerana Malaysia tidak pun beraksi di pentas tersebut. Bagi pasukan kebangsaan, Piala AFF tahun ini adalah medan mengembalikan maruah yang tercalar. Di bawah Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih, Harimau Malaya turut diharap dapat menggunakan beberapa khidmat pemain naturalisasi seperti Natxo Insa untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan yang berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember nanti.

Format kejohanan sudah pun bertukar dimana dalam peringkat kumpulan, pasukan akan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di gelanggang lawan.