Manchester United ditunjukkan jalan keluar oleh Sevilla selepas tewas 1-2 dalam aksi timbal balik saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara yang berlangsung di Old Trafford, awal pagi tadi.

Penyerang Sevilla, Ben Yedder menjadi duri dalam daging buat United selepas meledak dua gol dalam tempoh lima minit bagi membantu pasukan pelawat mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Sevilla yang menguasai penuh perlawanan terpaksa menunggu hingga minit ke-74 dan 78 di Old Trafford sebelum mengecewakan tuan rumah walaupun penyerang United, Romelu Lukaku merapatkan jurang jaringan menerusi ledakan pada minit ke-84 namun semuanya sudah terlambat.

Pengurus United, Jose Mourinho menegaskan kegagalan di Eropah bukan perkara baru buat kelab gergasi Inggeris itu.

“Saya duduk di kerusi ini dua kali sebelum ini bersama Porto, Manchester United tersingkir, dan kemudian bersama Real Madrid, Manchester United terkeluar, jadi saya tidak fikir ia sesuatu yang baru buat kelab ini,” kata Mourinho, yang mencetus persoalan mengenai pendekatan taktikalnya.

“Saya tidak mahu membuat drama mengenainya. Kami tiada masa untuk bersedih lebih daripada 24 jam, itulah bola sepak. Ia bukannya bermakna dunia berakhir.”
Mourinho membuat kejutan sebelum sepak mula dengan memanggil semula Marouane Fellaini di tempat Pogba, yang turut diketepikan pada perlawanan pertama.

Percaturan Mourinho terhadap Fellaini ternyata memakan diri apabila dia gagal menggunakan kelebihan fizikalnya untuk mengekang kehebatan pemain Sevilla di tengah.

Pogba, yang menyertai United dengan rekod dunia ketika itu pada 2016, akhirnya masuk selepas sejam menggantikan Fellaini namun pemain Perancis itu gagal membantu tuan rumah dan mereka akhirnya tersungkur.

Foto Kredit : soccerinfomania(dot)com