Sportsfix, peneraju dalam platform penstriman ‘over-the-top’ (OTT) mudah alih di rantau ASEAN, telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat media antarabangsa MP & Silva untuk menyiarkan perlawanan Liga Serie A TIM Itali untuk musim 2017/2018.

Sportsfix telah menandatangani perjanjian dengan pemegang hak media antarabangsa liga Itali dengan menyiarkan tiga perlawanan secara langsung setiap minggu kepada peminat di Malaysia melalui platform Sportfix (www.sportsfix.tv) bermula pada hujung minggu ini.

Liga Serie A TIM mempunyai pengikut yang kuat di Malaysia dan peminat akan menerima kemunculan semula liputan secara langsung terutamanya bagi pasukan-pasukan utama seperti juara bertahan Juventus, AC Milan, Inter Milan, AS Roma, Lazio, Fiorentina, dan pendahulu liga Napoli pada setiap minggu di Sportsfix. Begitu juga dengan kelibat pemain bintang seperti Gonzalo Higuain, Paulo Dybala, Marek Hamsik, Mauro Icardi, Radja Nainggolan, dan Edin Dzeko yang pastinya mempunyai peminat tegar mereka sendiri.

“Ini merupakan langkah yang penting untuk kami dan ia menunjukkan cita-cita besar kami sebagai sebuah platform strim. Ia merupakan sebuah liga yang hebat dengan pasukan-pasukan besar dan pemain bintang yang penuh dengan tradisi. Kami sangat teruja membawa semula bola sepak Itali kepada peminat di Malaysia,” ujar Marcus Luer, Pengerusi Eksekutif Sportsfix.

Liga Serie A TIM merupakan sebahagian daripada senarai kandungan yang ditawarkan oleh platform Sportsfix termasuk K League Classic, Liga Super China (CSL), Toyota Liga Premier Thailand, dan LIGA 1 Indonesia.

Pada bulan Ogos tahun ini juga, Sportsfix menyiarkan perlawanan persahabatan pra musim untuk pasukan dari Serie A TIM, Liga Perdana Inggeris, Bundesliga, dan La Liga Santander.

Peminat boleh menonton perlawanan yang akan datang untuk Serie A TIM (waktu Malaysia) pada 19 November:
Nov 19: AS Roma lwn Lazio (1.00am), Napoli lwn AC Milan (3.45am), Sampdoria lwn Juventus (10.00pm).

SPORTSFIX dimiliki oleh SF Media Holdings Sdn Bhd, anak syarikat TSA (Total Sports Asia) peneraju Asia dalam kandungan sukan secara global. Sportfix merupakan platform OTT secara langsung dan VOD yang pertama di ASEAN. Sportsfix menyiarkan kandungan sukan tempatan, serantau, dan antarabangsa yang popular di platformnya dan bekerja rapat dengan operator telekomunikasi untuk menyampaikan kandungan secara langsung kepada berjuta-juta peranti mudah alih. Setiap masa, di mana sahaja, kini semua orang boleh menonton sukan kegemaran mereka. Layari www.sportsfix.tv