Connect with:




Pemain skuad badminton negara bakal menjadikan Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata sebagai medan pemilihan terakhir untuk mengisi baki pemain yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast April depan.

Setakat ini barisan pemain untuk temasya kedua terbesar dunia itu sudah diputuskan kecuali bagi perseorangan wanita.

Tarikh tutup penyertaan pada 7 Mac ini dan menjadi rebutan antara pemain nombor satu negara Soniia Cheah dan juara remaja dunia 2015 Goh Jin Wei.

Soniia merupakan pilihan utama kejohanan manakala Jin Wei muncul selaku pilihan kedua.

Soniia ketika dihubungi semalam mengakui dia sedang mengejar masa untuk kembali mencapai prestasi terbaik dan memikat ketua jurulatih Tey Seu Bock.

“Keadaan saya tidak begitu baik sejak beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, awal bulan ini.

“Keputusan terletak di tangan jurulatih, jadi harapan saya adalah beraksi baik dan mungkin akan mendapat tempat ke dalam skuad Sukan Komanwel,” kata Soniia yang akan menentang pemain kelayakan R Shlini dari Selangor Rabu ini.

Sementara itu, Jin Wei yang turut bergelut dengan masalah prestasi sejak memenangi emas di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu akan menentang pemain kelayakan Samin Arena dari Sabah.

Setakat ini pemain wanita yang sudah mengesahkan tempat ke Gold Coast adalah Chow Mei Kuan, Vivian Hoo, Shevon Lai dan Goh Liu Ying.

Foto Kredit : bwfbadminton(dot)com